Monday, 12 December 2022

LITTLE WOMAN

 

Fuuhhh...drama ni memang plot twist sangatlah bagi saya. Rata-rata orang yang diharapkan akan menjadi saksi utama atau penyelesai masalah menjadi musuh dalam selimut atau berpaling tadah pada saat-saat akhir. Sakitnya hati apabila dikhianati sebegini. 

Kisah 3 adik beradik perempuan yang berhadapan dengan masalah kemiskinan. Ayah yang menjadi sandaran kepada keluarga ini melarikan diri ke Filipina disebabkan tekanan hutang yang tidak terbayar. Ibu mereka turut menyusul ke Filipina mengikut suaminya dan meninggalkan ketiga-tiga anak perempuannnya. Lebih mengecewakan apabila ibu mereka pergi ke Filipina tersebut menggunakan duit yang dikumpulkan oleh In Joo dan In Kyung untuk membiayai lawatan sambil belajar adik mereka ke Eropah.

Konflik bermula apabila Cik Jin kawan baik In Joo di pejabat mati membunuh diri dan mayatnya dijumpai sendiri oleh In Joo di apartmen milik sahabatnya itu. Kematian sahabatnya ini juga menjadikan In Joo jutawan segera kerana sahabatnya telah meninggalkan 2 bilion won untuknya. In Joo berperang dengan diri sendiri sama ada mahu menggunakannya atau tidak. Dia mendapat tentangan hebat daripada In Kyung yang merupakan wartawan yang berpegang kepada prinsip keadilan.Muncul pula Choi Do Il yang banyak membantu In Joo dalam hal kewangan sebab tiba-tiba In Joo mempunyai 70 bilion won dalam akaun yang dibuka atas namanya di Singapura. 

Cerita ini mula berkembang dengan watak antagonisnya terarah kepada Park Jae Sang seorang ahli politik yang bercita-cita untuk menjadi Datuk Bandar Seoul dan seterusnya Presiden Korea. Dia sanggup melakukan apa sahaja demi merealisasikan impiannya. Di sampingnya adalah isterinya Wang Son Ah yang nampak lembut ala-ala perempuan ayu dan baik. Banyak sangat kisah kejahatan diorangnya yang cuba dibongkar oleh In  Kyung.

In Kyung ni watak seorang wartawan yang tidak mudah putus asa. Dia tidak menjadikan wang sebagai hambatan utama dalam hidupnya walaupun mereka hidup dalam kemiskinan. Mungkin sebab dia pernah dipelihara oleh nenek saudara mereka yang kaya dan melalui pelbagai peristiwa yang menyakitkan. In Kyung ni agak tegas dalam pendiriannya. Dia agak keras kepala dalam  mempertahankan sesuatu yang diyakininya. Dialah sumber penyelesai masalah yang  berkaitan dengan kejahatan Park Jae Sang dalam drama ini. Dia jugalah bersama dengan bakal teman lelaki yang juga sahabat karibnya dari kecil menyiasat dan membongkar segala kegiatan jahat mereka. Nampak watak In Kyung ini gigih tapi adakalanya menyebalkan he he sebab keras kepala dia kadang-kadang tidak kena pada masanya malah membawa kepada tindakan membabi buta yang akhirnya menguntungkan pihak lawan. In Kyung ini merupakan cucu saudara kesayangan nenek saudaranya sebab itulah dia yang mewarisi bukan sahaja harta peninggalan neneknya tapi juga hutang piutang mendiang neneknya. 

In Joo anak sulung yang berusaha untuk membawa keluarganya keluar daripada lingkaran kemiskinan. Dia malah sanggup berkahwin dengan lelaki kaya semata-mata untuk kesenangan keluarganya tapi malangnya dia telah ditipu dan akhirnya bercerai. Sifat naif In Joo ini menjadikan dia mudah dipergunakan oleh orang lain sepertimana Miss Jin mempergunakannya dia. Tetapi disebalik sikapnya yang adakalanya menjengkekkan terselit semangat yang kuat dalam dirinya. Dia juga tidak mudah menyerah walaupun mengundang bahaya untuk diri sendiri. Nasiblah ada juga Choi Dii Il yang sentiasa ada menyelamatkannya. Dia ni jenis manusia yang terlalu mengikut kata hati. Dia tidak berfikir dulu sebelum bertindak. Dia ikut naluri hatinya sehinggakan membawa kepada bahaya yang tidak diundang.

Drama ini hanya 12 episod sahaja. Tidak taulah pula kalau ada season 2 nanti sebab trend KDrama sekarang ni pandai sudah berseason2. Ada banyak persoalan yang tidak terungkai sebenarnya :-

1. Apa jadi dengan syarikat nenek saudara In Kyung yang punya hutang yang banyak. In Kyung berazam untuk memenuhi wasiat neneknya kerana dia tahu punca kejatuhan syarikat neneknya adalah ekoran daripada tindakan tidak matang In Kyung menyerang Park Jae Sang tanpa bukti-bukti yang jelas. Sampai ke ending tiada cerita walhal waktu nenek dia meninggal punyalah In Kyung tu bersemangat. Ingatkan dia akan  muncul menjadi wanita berjaya he he. Rupa-rupanya dia ikut BF dia pigi AS untuk sambung belajar. Mungkin balik dari sana lah kot.

2. Apa jadi dengan ibu bapa Choi...bapa Choi telah ditangkap polis dan lepas tu tutup terus. Ibunya pula kemalangan bersamanya..Choi saja tapi selepas itu ibunya langsung tidak muncul lagi.

Banyak jugalah persoalan lain yang berlegar2 di minda. Mungkin sebab hanya 12 episod maka pengakhirannya agak tergesa-gesa bagi sayalah. 

Apa-apapun drama ini menarik untuk ditonton. Macam-macam hal yang berlaku. Trauma, sakit jiwa semua ada dalam cerita ini.


No comments:

Post a Comment

LUQ

Fuiyooo...lama kutinggalkan aktiviti membaca buku ni. Last rancak membaca buku ni rasanya musim sebelum pandemik melanda negara lagi. Oleh s...