Friday 10 March 2017

NOVEL VS ADAPTASI NOVEL


Seiring dengan perubahan zaman dan kemajuan teknologi, pelbagai arus kehidupan manusia turut berubah. Dunia globalisasi merupakan lambang kehidupan masyarakat dunia pada masa ini yang semakin kecil. Maklumat di hujung jari menjadikan kehidupan lebih mudah. Interaksi dan komunikasi tidak lagi dipisahkan oleh faktor geografi kerana boleh berlangsung di mana sahaja dan  pada bila-bila masa tanpa mengira faktor jarak.

Begitu juga dengan dunia seni. Seni merupakan sesuatu yang abstrak namun mempunyai tafsiran yang berbeza antara satu sama lain. Dunia penulisan dan perfileman merupakan cabang seni yang mempunyai keistimewaannya tersendiri. Kedua-duanya berkembang sesuai dengan peredaran zaman untuk memenuhi citarasa dan permintaan audiens.

Namun, kemunculan senario adaptasi novel ke dalam drama atau adaptasi drama ke dalam bentuk novel mendapat sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan masyarakat kita. Terdetik di hati ini adakah senario ini menunjukkan satu perkembangan yang positif dalam perkembangan dunia seni tanah air. Jawapannya bergantung kepada sejauhmana pandangan anda pada kedua-dua cabang seni ini. Hal ini kerana pasti ada pro dan kontra yang wujud dalam situasi seperti ini.

Setelah membaca beberapa novel yang kemudiannya diadaptasi ke dalam bentuk drama atau sebaliknya, saya dapat membuat kesimpulan bahawa wujud beberapa perbezaan yang nyata antara kedua-duanya. Hal ini menjadikan saya sebagai pembaca yang daif mula terfikir mengapa adaptasi tersebut lari jauh daripada binaan plot dalam novel. Saya menonton drama dan merasakan ia sesuatu yang berbeza walaupun bersandar pada tajuk yang sama.

Setelah meneliti beberapa karya, akhirnya mungkin saya dapat simpulkan di sini bahawa sesungguhnya ada sebab yang membawa kepada perbezaan yang ketara ini. Antaranya :-
  1. Perubahan pada binaan plot. Konflik yang tidak wujud dalam novel ada dalam drama menjadikan jalan ceritanya sudah berubah. Saya cuba memperhalusinya dan cuba untuk menerima perbezaan ini dengan andaian ia terpaksa dilakukan bagi menggantikan adegan romantik atau sweet dalam sesebuah novel yang mungkin tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk lakonan disebabkan oleh hukum halal haram antara pasangan.
  2. Perubahan pada nama watak dan perwatakan. Nama watak dalam novel berubah apabila 'didramakan'. Ini adakalanya menjadikan tumpuan saya agak terganggu kerana saya secara zahirnya mengharapkan dalam adaptasi drama daripada novel jalan ceritanya tidak terlalu berbeza. Apatah lagi perwatakan watak juga telah diubah daripada apa yang ada dalam cerita sebenar.
  3. Perubahan pada latar tempat. Latar tempat berbeza dengan apa yang ada dalam cerita sebenar. Contoh : Dalam novel Suamiku Paling Sweet pertemuan antara Hakimi dan keluarganya adalah di lapangan terbang namun dalam drama ia diadakan dalam sebuah restoran. Masih mengekalkan dialog yang sama cuma penambahan pada watak Hannah. 
Apapun perbezaan pastinya disebabkan oleh kekangan untuk mendapatkan 'angel' terbaik persamaan antara novel dan drama. Hal ini bukanlah satu pekara besar namun agak menganggu pembaca daif seperti saya yang cuba untuk menghargai hasil karya seni orang lain. Bukanlah maksudnya saya tidak menyukai drama yang diadaptasi daripada novel.....bukan begitu.....cuma agak sedikit terganggu apabila kita telah mengetahui jalan cerita daripada novel yang menjadi teks asal. 

Moga senario yang semakin mendapat tempat dalam hati masyarakat kita masa ini menjadi petanda kepada penerimaan masyarakat terhadap perkembangan dunia penulisan novel. Namun diharapkan senario ini tidak mengundang risiko seperti ketandusan idea dalam dunia perfileman dan hanya bergantung kepada idea penulis kemudian diolah menjadi skrip drama.


Thursday 9 March 2017

PROLOG

Dunia novel bukanlah satu perkara baharu dalam hidupku. sememangnya sejak usia kanak-kanak sehinggalah menginjak usia remaja novel merupakan antara santapan penghibur kehidupan. Namun, sesuai dengan status kehidupan maka pada waktu itu, diri ini hanya mampu membaca novel melalui peminjaman di Perpustakaan Desa.

Kepompong kemiskinan menjadi satu kekangan namun bukan halangan muktamad untuk mendapatkan novel terbaharu. Sikap sendiri yang sebenarnya menentukan sejauhmana keinginan dan kesungguhan kita untuk mendapatkan sesuatu yang dimiliki. Dahulu apabila membaca novel hanya mampu membaca bertemankan sinaran cahaya lampu pelita daripada botol berisi minyak dan suratkhabar. Keseronokan menghayati cerita masih dirasai walaupun dalam keadaan yang serba serbinya kurang. Saya masih mampu tersenyum di saat pengarang mengambarkan saat romantis yang membuatkan hati terus berbunga-bunga dan masih menitiskan air mata tatkala pengarang menzahirkan kesedihan dalam novel.

Kini......bukan sahaja mampu membaca novel dalam keadaan yang lebih selesa malah mampu memilikinya dan juga turut menjadikannya sebagai koleksi peribadi. Betapa agungnya kuasaMu ya Allah....daripada insan yang tidak punya apa-apa....kanak-kanak dan remaja perempuan yang hanya mampu menagih simpati untuk meminjam novel kepada insan yang mampu untuk memilikinya....

Pada diriku....ini bukanlah satu kebetulan....sebenarnya satu impian....yang pernah menjadi igauan diriku sejak dari kecil...iaitu mampu melakukan apa sahaja yang ingin dilakukan. Moga nikmat Allah ini tidak melalaikan tetapi menjadi sesuatu yang boleh dijadikan sebagai teladan dan pengajaran dalam kehidupan.

'NIKMAT MANAKAH YANG DAPAT KAMI SANGKAL 
DARIPADA PEMBERIANMU YA ALLAH'

LUQ

Fuiyooo...lama kutinggalkan aktiviti membaca buku ni. Last rancak membaca buku ni rasanya musim sebelum pandemik melanda negara lagi. Oleh s...