Showing posts with label WAWA AKIL. Show all posts
Showing posts with label WAWA AKIL. Show all posts

Friday, 30 December 2022

NOVEL DIA SELALU DI HATI


Image result for novel dia selalu di hati


Novel ini merupakan novel kedua karya WAWA AKIL yang saya baca. Dan sungguh saya terpikat dengan cara penulisan beliau yang mencipta jalinan plot yang santai dan tidak sarat dengan konflik yang menyebalkan. Saya rasa tenang saja dengan hasil tulisan beliau kerana novel ini hanya novel santai untuk menghiburkan jiwa. Namun bagi mereka yang tidak suka dengan novel yang mereka anggap klise ni diingatkan tidak perlu baca ya takut korang mendidih pula.

Novel ini mengisahkan Aira Ifftiyah merupakan seorang gadis yang melanjutkan pelajaran di Brisbane dalam bidang perakauan telah dipaksa oleh ayahnya untuk berkahwin dengan pilihan keluarga kerana mereka telah mendapat perkhabaran bahawa dia hidup dengan sosial di Negara luar. Iyya berasa sangat tertekan kerana dia bukanlah gadis yang sosial. Dia sentiasa menjaga tingkah lakunya. Dia sendiri tidak pernah menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki. Bagaimana mungkin keluarganya tergamak menuduhnya seperti itu.

Namun sebagai anak yang patuh kepada ayahnya, Iyya bersetuju menikah dengan lelaki pilihan keluarganya bernama Izz Harraz. Setelah kembali ke tanah air, Iyya telah dipaksa pula oleh ayahnya untuk menghadiri temuduga menjadi setiausaha Izz Harraz. Di situlah bermulanya pertemuan pertama suami isteri tersebut. Maka bermulalah kisah Harraz untuk memikat dan menawan hati isterinya supaya mereka dapat tinggal bersama tetapi hati seorang Iyya ni cukup keras. Dia merasa marah apabila selama 6 bulan mereka menjadi suami isteri Harraz tidak pernah datang menjenguknya. Dia tidak tahu yang Harraz memang pernah datang ke Brisbane tetapi tersalah sangka dengannya. Harraz terlihat dia sedang bermesra dengan seorang lelaki yang disangkakan sebagai kekasih isterinya tetapi sebenarnya abang sulung Iyya.

Apabila hubungan mereka semakin baik, pastilah muncul klimaks cerita. Netty seorang model yang pernah rapat dengan Harraz telah memfitnah Harraz dengan mengatakan bahawa dia mengandungkan anak Harraz. Pertengkaran mereka telah dirakam oleh Alina staf Harraz dan kawan baik sepejabat Iyya. Akhirnya tersebarlah fitnah tersebut yang menyebabkan tekanan kepada pasangan tersebut. Kepercayaan mereka diuji namun kesungguhan kedua-duanya cuba mempertahankan hubungan suci mereka akhirnya berjaya dengan pertolongan rakaman Alina.

Hanif pula muncul untuk cuba mendapatkan Iyya semula tanpa dia mengetahui bahawa dia bekerja di bawah syarikat suami Iyya sendiri. Hanif dan Kay merupakan kawan rapat Iyya ketika di Brisbane. Hanif memang sukakan Iyya tapi Iyya mahu dia bersama dengan Kay yang begitu mencintai Hanif dan akhirnya mereka bertunang. Akhirnya HAPPY ENDING....k dapatan novel :-

1.    JANGAN MENGKHIANATI SESUATU PERHUBUNGAN
-       Sesuatu perhubungan itu sama ada dalam bentuk persahabatan ataupun jalinan perasaan perlulah dijaga. Sekali kita mengkhianati kepercayaan orang lain maka terlalu sukar untuk kita mendapatkan kepercayaan tersebut.


2.    KEMAAFAN SESUATU YANG TERLALU SUKAR UNTUK DIUNGKAPKAN TETAPI KESANNYA MENDAMAIKAN DALAM HIDUP.
-       Bukan mudah untuk mengungkapkan sebuah kemaafan. Mudah untuk menyakiti orang lain tetapi sukar untuk kita mendapatkan sebuah kemaafan. Kemaafan mungkin senang diluahkan tetapi luka yang ditinggalkan bukanlah satu perkara mudah yang boleh dihilangkan begitu sahaja.

#Siapa sebenarnya yang sanggup memfitnah Iyya sehingga dia dihukum oleh keluarganya. Mengapa orang itu sanggup memfitnah Iyya......saya tinggalkan untuk korang dapatkan jawapannya he he....

Friday, 20 December 2019

KERANA DIA LELAKI ITU

Image result for KERANA DIA LELAKI ITU
Omo omo omo...he he..menyesal saya peram buku ni lama-lama. WAWA AKIL memang antara penulis yang saya minati. Teknik penulisan beliau yang santai dan bersahaja disulam dengan penggunaan bahasa yang selamba mampu mencuit hati pembaca. Dalam masa yang sama, pelbagai emosi turut dibangkitkan seperti sedih, marah, geram dan gembira. 

Kisah sedih yang menyelubungi keluarga gadis jelita Sara Khadeeja. Ketika usianya baru sebulan, dia telah diserahkan kepada keluarga angkatnya. Hal ini disebabkan perpisahan antara walid dan mummynya disebabkan perbezaan darjat. Ibu Syed Hisyam iaitu Puan Seri Anom bermati-matian menghancurkan rumahtangga anaknya sendiri. Akibat tidak tahan dengan ugutan dan tekanan ibu mentuanya maka Nabila telah meminta Syed Hisyam ceraikannya. Syed Hisyam terpaksa melafazkan talak pada waktu itu kerana tidak mahu melihat isterinya tertekan dengan keadaan mereka. Ini kisah sedih, permulaan hidup seorang Sara Khadeeja.

Di sebalik kesedihan itu, Sara yang masih kecil membesar dan dididik dengan sempurna serta penuh tanggungjawab oleh keluarga angkatnya iaitu Hendan + Aminudin yang juga merupakan sahabat baik kedua-dua ibu bapa kandungnya. Baik sangat keluarga ni. Mereka tidak pernah menyisihkan Sara dan mereka juga tidak pernah menyembunyikan status Sara sebagai anak angkat. Malahan, Datin Seri Hendan sentiasa bercerita tentang walid dan mummynya kepada Sara agar anak gadis itu tidak menyimpan dendam atau rasa marah terhadap ibu bapa kandungnya yang menjadi mangsa keadaan. 25 tahun Nabila dan Syed Hisyam menghilangkan diri. Setiap bulan Nabila tidak pernah lupa mengirim nafkah untuk Sara dan setiap tahun akan mengirim hadiah hari jadi untuk anaknya.

Sara yang mewarisi kejelitaan mummynya dan muka ala-ala Arab walidnya menjadikan dia gadis idaman abang angkatnya sendiri iaitu Gibran Addin. Begitu juga dengan Sara. Dalam diam, kedua-duanya menyimpan rasa yang sama namun kerana status membesar bersama dan konsep adik-abang menyebabkan kedua-duanya menyembunyikan perasaan masing-masing.

SCENE I

"Along ni kan. Takkan puji sikit dah kata jatuh cinta. Tapi kan kalau dia jatuh cinta dengan Maira alahai untungnya...handsome gila,"

"Tapi sayangnya, dia tak syokkan Maira..dia," sengaja dia tidak menyambung kata-katanya.

"Habis tu syok siapa?" soal Gibran Addin. Pintu biliknya dibuka. Di belakang si adik setia mengekori langkahnya.

"Dia syokkan kakak. Ada ke patut dia ingat along kekasih kakak. Bila Maira cakap kakak dan along adik beradik punyalah berseri muka dia," dia bercerita.

Tanpa dia sedari ada wajah yang berubah mendengar kata-kata itu. Gibran Addin mendengus.

"Long kita nak dapat ipar erk,"soal Maira. Langsung tidak mempedulikan wajah abangnya yang berubah.

Dari tadi lagi dia mahu melompat tinggi tetapi cuba ditahan rassa hatinya. Yes! Along cemburu, ada peluang ni, desisnya.

SCENE II

"Long agak-agaklah nak berlakon sibuk pun. Takkan tilik fail kosong," makin kuat dia mentertawakan si abang.

"Mengakulah long...kalau tak melepas Tak salah along jatuh cinta pada kakak. Along bukan mahram kakakpun. Kakak halal untuk along nikahi," dia membuat perangkap samar lagi.

"Maira ni dah kenapa?,"marah Gibran Addin. Sakit pula telinganya mendengar ketawa si adik.

"Budak kecik jangan nak melalut boleh tak. Duk cerita yang bukan-bukan ni. Melalut sejak tadi," marah Gibran Addin.

Adik tak mungkin akan jadi kekasih. Seorang abang takkan biarkan hatinya berubah. Adik tetap adik.

SCENE III

"Kau okey tak ni?" soal Ziyyad. Tenang saja dia memandu keluar dari ibu kota menuju ke Office mereka di Pandan Indah.

"Aku okey. Apa hal tak okeynya. Tapi alang-alang kau dah tanya ni, aku ucap terima kasihlah sebab kau ambil berat pasal aku," perlahan saja suara Gibran Addin.

"Alhamdulillah. Kau mengakulah ni?" tanyanya lagi.

"Ya Allah...nak mengaku apanya?" dia masih buat-buat tak faham

Ziyyad tarik nafas. Buatlah muka blur macam tu, nanti tak pasal-pasal menangis tak berlagu nanti. Geram sungguh dengan sikap temannya itu.

"Mengaku apa yang aku nampak depan mata tadi. Kalau kau tak ada hati dengan Sara, kau tak jadi macam tu bila tengok Sara dengan si Fadh tadi.

"Jadi macam mana? Nampaknya orang lain pula lebih tahu pasal diri aku berbanding aku sendiri," dengus Gibran Addin.

SCENE IV

"Hissh, terputus pula," rungutnya.

"Bukan terputus tu. Entah-entah adik kau sengaja putuskan," saja Ziyyad menambah bara di hati Gibran Addin.

"Barulah padan muka kau," tanpa perasaan Ziyyad berkata. Perlahan saja nada suaranya tapi jelas di pendengaran Gibran Addin.

"Kau ni kenapa? Dari tadi tak habis-habis nak menyakitkan hati aku," marahnya. Wajah bersahaja temannya itu dipandang dengan pelbagai rasa.

"Laaa...kau terasa ke ? Ingatkan Gibran Addin Datuk Seri Aminuddin tak ada perasaa." sinis lagi bunyi itu.

Gibran Addin mengelu.

"Kau nak aku buat apa? Sara itu adik aku. Aku membesar dengan dia. Dari kecil kami bersama. Dalam hati dia, aku hanya seorang abang, Along pada dia. Aku tempat berlindung dia selama ini," Matanya dihala ke luar tingkap kereta.

"Maksudnya kau dah mengaku. Kau ada rasa pada Sara?Bravo...bravo akhirnya lelaki ego, lelaki degil macam kau tunduk juga dengan rasa itu."

Namun apabila Fadh Idhlan mula menunjukkan kesungguhan untuk mengurat Sara, Gibran Addin jadi tak ketentuan. Dia mula berperang dengan emosi dan perasaannya sendiri. Walhal pada masa yang sama dia tetap melayan Suriana yang dianggapnya tidak lebih sebagai adik untuk test perasaan Sara. Apabila Gibran sudah tidak mampu untuk membendung perasaanya melihat hubungan Sara dan Fadh yang semakin rapat, Gibran telah mengambil langkah menggunakan walid Sara iaitu Syed Hasyim sebagai perantaraannya. Maka berlangsunglah kisah nak mereka bertunang tetapi dalam sekelip mata majlis pertunangan diubah kepada pernikahan pula. Tak ada konflik pun sebab Fadh dan Surianna bukanlah langau tegar he he sebab tu saya suka penulis ni. Tidak merumitkan konflik langau tu.

Kisah pertemuan anak-beranak ni cukup meruntun jiwa saya hu hu. Rasa hampir nak menitis air mata. Saat kali pertama berjumpa dengan walidnya, pengsan Sara tu sebab terlalu terkejut. Bayangkanlah dah 25 tahun berpisah. Masa perkahwinannya pula dia dikejutkan dengan kehadiran mummynya nasib kali ni Sara dah tak pengsan lagi he he. Misi Sara dan Gibran pula bermula untuk menyatukan semula walid dan mummynya dan usaha mereka berjaya apabila Hisyam dan Nabila masih lagi menyimpan rasa yang sama walaupun telah terpisah 25 tahun. Majlis perkahwinan kedua merekapun dalam keadaan yang meriah. Tambahan pula, dengan kehadiran Tan Sri Syed Bakhtiar dan Puan Seri Anom yang telah insaf dengan kesalahannya selepas anak sulungnya meninggalkan mereka. HAPPY ENDING...fuuh puas weii baca cerita macam ni.....sekarang ni pun ntah dah beberapa kali ulang baca he he...k dapatan novel :-

  1. DARJAT TAK DIBAWA MATIPUN. LEBIH BAIK UTAMAKAN KASIH SAYANG KERANA SEKALI RASA ITU HILANG DATANGLAH SETINGGI MANA DARJAT SEKALIPUN TAK AKAN MAMPU UNTUK MEMBELINYA.
  2. PENYESALAN ITU SANGAT MENYAKITKAN. OLEH ITU, KITA PERLU BERFIKIR LEBIH DALAM SEBELUM BERTEMU DENGAN ERTI SEBUAH PENYESALAN.

# Oh ya...Sara dan Fadhlan tu sebenarnya selepas dibongkar-bongkar ceritanya ada hubungan juga tau he he tapi yang tu korang bacalah ya he he.

# Kisah lama Syed Hisyam dan Nabila iaitu walid dan mummy Sara juga berbaloi untuk dibaca sebab anda boleh rasa kesakitan itu hu hu.

16/60 CABARAN 60 BUKU SETAHUN
KOLEKSI BICARA NOVEL - 03 FEBRUARI 2019

Friday, 4 January 2019

JODOH DARIPADA DIA


Image result for jodoh daripada dia

Wawa Akil merupakan antara penulis fav saya. Gaya penulisan beliau yang santai dan bersahaja walaupun banyak menggunakan teknik deskriptif iaitu penceritaan namun masih mampu untuk menyampaikan mesej yang hendak disampaikan. Salah satu kelebihan penulis ini ialah unsur humor yang disampaikannnya cukup bersahaja dan mampu untuk mengeletek hati pembaca saya. Biasanya Wawa akan menggunakan watak-watak sampingan untuk memasukkan unsur humor ini dan memang menjadi pada saya kerana membuatkan saya tertawa sorang-sorang he he.

Berbalik kepada novel ini, ceritanya santai sahaja. Tidak ada konflik yang berat dan menyesakkan minda anda he he. Hanya konflik tarik tali dan mainan perasaan sahaja. Watak langau penganggupun tidak terlalu dominan ditonjolkan menjadikan cerita ini santai untuk dibaca. Kisah ini tentang Harris Daniel yang pada waktu itu berusia 25 tahun telah mengikat seorang gadis berusia 19 tahun bernama Indah dalam sebuah tali pernikahan demi menghalalkan hubungan mereka. Harris yang menurut kata hati dan nafsu semata-mata tanpa menyedari perasaannya sendiri telah menjadikan gadis muda yang malang itu sebagai mangsa keadaan. Indah yang masih muda bersetuju dengan rancangan gila Harris dan sanggup mengenepikan keluarganya pastilah disebabkan oleh perasaan cintanya terhadap lelaki itu. Mereka bernikah dua kali tau. Sekali tanpa pengetahuan bapa Indah dan sekali lagi atas permintaan bapa Indah kerana dia mahu memastikan pernikahan mereka sah. Namun malangnya, selepas mendapat apa yang diingininya, Harris telah meninggalkan isterinya yang masih muda.

Indah seorang gadis muda yang cekal, tabah dan berdikari. Selepas ditinggalkan oleh suaminya, Indah telah mengandung. Disebabkan ketiadaan Harris maka mereka sekeluarga menerima penghinaan masyarakat dengan menuduh Indah mengandung anak luar nikah. Demi menyelamatkan maruah mereka, mereka sekeluarga telah berpindah dan hal inilah yang menyebabkan Harris tidak menemui Indah sewaktu dia mencarinya suatu ketika dahulu. Cuma silapnya Harris, dia tidak bersungguh-sungguh mencari. Dia hanya mencuba sekali dan selepas itu dia terus melupakan isterinya sehinggalah dia asyik diganggu dengan mimpi kehadiran seorang anak kecil dan wanita dalam tidurnya.

Setelah 5 tahun berlalu, pertemuan antara mereka berlaku secara tidak sengaja. Namun, malangnya Harris tidak mengenali isterinya sendiri malah dia nak mengorat pula dengan isterinya itu he he. Dia juga terjatuh suka dengan Iman Raykal si budak comel yang petah bercakap dan bersedia menerima kehadiran Iman dalam hubungannya dengan wanita pengusaha kedai dobi tanpa mengetahui bahawa mereka itu adalah anak dan isterinya yang sebenar he he. Part ni memang best sebab Indah betul-betul kenakan suami dia....yalah sapa suruh...suami tak kenal isteri kot.

Watak abang Indah bernama Firman banyak membantu menjernihkan hubungan mereka. Firman mahu melihat kebahagiaan adiknya dengan suaminya. Namun luka yang ditinggalkan oleh Harris dalam diri Indah begitu dalam dan menyebabkan Indah begitu sukar untuk menerima semula kehadiran suaminya itu. Maka bermulalah episod pujuk-memujuk. Harris berusaha sedaya upaya untuk menawan semula hati isterinya yang telah dilukainya. Macam-macam Harris buat he he...yang ni korang bacalah ya dan akhirnya berjaya apabila Harris dengan rendah dirinya balik ke kampung Indah memohon kemaafan dengan kedua orang mertuanya. Keikhlasan Harris dan rasa penyesalan yang menebal dalam dirinya melembutkan hati Indah dan keluarganya untuk menerima Harris.

Masalah pula muncul apabila ibu Harris mahu menjodohkan Harris dengan Rania. Tipikal cerita Melayu memang macam ni kan he he. Tapi tak boleh juga salahkan ibu Harris sebab dia tidak mengetahui tentang kewujudan Indah dan Iman Raykal. Saya suka apabila penulis menggambarkan penerimaan ayah Harris iaitu Tan Sri Imran terhadap kehadiran menantu dan cucunya. Begitu juga dengan adik-adik perempuan Harris yang sangat menyayangi kakak ipar dan anak buah mereka. Langau Rania tu hanya muncul sipi-sipi sahaja dan berjaya ditepis dengan mudah oleh Harris he he. Dan akhirnya....HAPPY ENDING...he he....k dapatan novel ini :-
  1. SESUNGGUHNYA JODOH ITU ADALAH MILIK ALLAH. SEJAUHMANAPUN KITA MENJAUH AKAN TETAP BERSATU JUGA JIKA IA BENAR-BENAR MILIK KITA.
  2. EGO PENGHANCUR KEPADA KEBAHAGIAAN. AKUILAH IA JIKA MAHUKAN KEBAHAGIAAN MENJADI MILIK ANDA.
#Macamana Harris mengetahui identiti isteri dan anaknya....korang bacalah ya he he..dan dalam cerita ni watak Firman dan Cempaka cukup menghiburkan he he

#Novel ni sebenarnya reprint tau....dulu2 preloved buku ni pun mahalnya...tapi akhirnya direprint semula oleh penulis atas permintaan ramai.

KOLEKSI BICARA NOVEL ( 1 JANUARI 2019)

Saturday, 24 February 2018

NOVEL CINTA YANG PULANG


Image result for novel cinta yang pulang

 Novel ini merupakan karya WAWA AKIL. Rasanya ini novel pertama karya beliau yang saya baca. Dalam simpanan ada beberapa buah lagi yang belum sempat dibaca sebab saya beli buku ni secara kombo....memang jimat he he. Selesai sahaja saya membaca novel Pilihan Hati Mr Milionaire..saya teringin untuk membaca sesuatu yang santai untuk menenangkan jiwa sebab novel sebelumnya tu agak merumitkan minda pembacaan saya he he.....novel tu banyak sangat konflik walaupun ia hanya berkisar dendam disertakan pula dengan khilaf manusia hedonisme menganggu jiwa saya...ooh ya saya ada buat review tentang novel tu dalam blog ni jadi korang bolehlah baca.

Berbalik semula pada novel ini....fuuh...pilihan yang tepat ha ha...novel ni sangat santai...plot cerita yang menyenangkan. Malahan membuatkan saya sangat terhibur. Saya boleh ketawa sorang-sorang sampai husband naik pelik dan siap tanya kenapa ketawa. Tak adalah kelakar sangat tetapi gelagat adik-adik kembar Dina tu sangat mencuit hati saya. Unsur humor penulis ni sangat baik.

Kisah ni tentang Adina Insyirah yang pernah disakiti oleh Noah Imran ketika mereka berusia 17 tahun. Noah telah menuduh Dina menyebarkan gambara tidak senonoh kekasihnya Thia. Noah telah mengeluarkan kata-kata makian dan hinaan yang betul-betul merenggut maruah diri Dina. Selepas peristiwa itu, Dina dan keluarganya telah berpindah ke Australia kerana ayahnya berkerja di sana. Selepas sahaja pemergian Dina, terbongkar kisah sebenar bahawa penyebaran gambar itu bukan dibuat oleh Dina. Noah menyimpan rasa sesalnya yang tidak berkesudahan. Selama 12 tahun dia menunggu semoga ada ruang untuknya memohon kemaafan.

Mereka ni sebenarnya tinggal berjiran. Setelah 12 tahun Dina sekeluarga telah kembali ke rumah mereka. Noah yang juga sudah mula tawar hati dengan Thia yang terlalu sosial mula merasa rindu dan ingin bertemu dengan gadis yang pernah dizaliminya satu ketika dulu. Pertemuannya dengan Dina semula membuka lembaran baru untuk Noah kerana dia mula jatuh cinta pada gadis tersebut. Tetapi berbeza dengan Dina sebab yang ada dalam dirinya hanyalah rasa dendam dan marah yang tidak berkesudahan terhadap lelaki yang sanggup menghinanya satu ketika dulu. Namun jauh di sudut hati Dina, dia masih menyimpan satu rasa terhadap lelaki itu.

Noah berusaha untuk memikat hati Dina. Dia mendapat bantuan dan sokongan daripada kedua-dua belah keluarga. Malahan atas bantuan ibu-ibu mereka Dina telah dipaksa menjadi PA Noah....maka senanglah kerja Noah he he buah hati sentiasa ada di depan mata. Tambah syok adik kembar Dina juga menyokong Noah menjadi abang ipar. Gelagat mereka nilah yang menghiburkan hati. Namun biasalah mesti ada langau yang munculkan. Thia yang sudah berpasangan dengan Noah selama berbelas tahun mana mungkin menerima kenyataan. Penat Noah terangkan tapi Thia tetap dengan pendirian. Urusan Thia ni mendapat sokongan daripada Datuk Saziman yang menyimpan rasa tercabar terhadap Dina kerana dia jenis lelaki gila yang  pantang perempuan tidak tunduk kepadanya.

Thia telah mengatur rancangan menculik Dina dengan kerjasama Datuk Saziman namun Thia bertindak terlebih awal. Ketika penculikan itu, Thia dan Datuk Saziman berebut nakkan Dina. Nasib tidak ada apa yang buruk berlaku pada Dina kerana bantuan tiba tepat pada masanya. Selepas itu...HAPPY ENDING...k dapatan novel :-

1.    SEKALI KITA DILUKAI MAKA KESAN LUKANYA KEKAL TERPAHAT
-      Betullah kata-kata itu lebih tajam daripada mata pedang. Sekali kita mengeluarkan kata-kata yang menyakiti hati orang maka sampai bila-bila kesan lukanya akan kekal dalam hati orang tersebut. Nak mengubati hati yang sudah terluka bukanlah satu perkara yang mudah. Oleh itu, berhati-hatilah dalam pertuturan kita.

2.    JANGAN MEMBINA HARAPAN PADA ORANG LAIN
-       Jika tidak mahu sesuatu perhubungan itu menjadi lebih rumit pada masa hadapan maka jangan awali atau mulai perhubungan itu dengan satu kemesraan yang mungkin disalahertikan oleh orang lain. Jika tidak mahu musibah melanda kerana disebabkan perasaan manusia sanggup bertindak di luar akal waras mereka maka bataskanlah tahap pergaulan anda.

#Apa yang terjadi pada Thia dan Datuk Saziman.....korang baca ya....dan macamana kelakarnya adik-adik kembar Dina dan  rakan-rakan mereka menyokong usaha Noah memikat Dina korang baca juga he he.....


#Di awal-awal penulisan blog, saya suka berikan sinopsis penuh tapi ada orang tegur nanti katanya orang langsung tak baca novel tu...alahai macamlah saya tulis novel penuh he he...maka saya mulakan tinggalkan sedikit persoalan bukan nak mengikut telunjuk atau pendapat orang tapi saja nak buat korang penasaran sedikit he he.....

SAAT ITU