Friday, 30 December 2022

PILU TANPAMU


Image result for PILU TANPAMU

Novel ini merupakan karya Muna Mahira yang ketiga telah saya baca namun rasanya ini yang pertama saya review disebabkan kekangan waktu membuat review selepas pembacaan. Ramai yang memuji kemampuan penulis ini walaupun suatu ketika dahulu dia pernah ada kontroversi disebabkan kelewatan mengeluarkan bukunya selepas pre order. Pada saya secara jujur tidak dapat dinafikan memang penulis ini mempunyai sengatan dan aura tersendiri dalam bidang penulisan. Teknik deskriptif yang disulam dengan gaya bahasa yang tepat mampu membuai perasaan pembaca. Hal ini kerana ada penulis yang gagal membawa emosi pembaca untuk meneruskan pembacaan disebabkan oleh teknik dan gaya bahasa yang memualkan. Namun jujurnya saya belum menemui satu titik kepuasan membaca karya beliau sepertimana saya membaca karya Wawa Akil, Cik Tet dan Sha Ibrahim. Tetapi saya tidak juga boleh membuat penilaian awal kerana ada banyak lagi karya-karya beliau dalam simpanan yang belum saya baca.

Oleh itu saya tidak mahu membuat andaian awal. Tambahan pula, mungkin pujian-pujian rakan2 tentang penulis ini meletakkan harapan yang tinggi kepada saya menyebabkan saya punya target tertentu dan apabila tidak tercapai...itu yang saya maksudkan belum mendatangkan kepuasan saya. Adakalanya saya tidak akan membaca karya-karya yang mendapat pujian melambung tinggi kerana takut kecewa jika tidak memenuhi seperti apa yang saya gambarkan. Biasanya saya akan menunggu sehingga reda keterujaan itu barulah saya membacanya he he.

Berbalik kepada novel ini, kisah santai yang cukup menghiburkan. Pengarang banyak menggunakan POV pertama. Dan saya rasa ini adalah identiti beliau. Kebanyakan novelnya yang saya baca setakat ini memang menggunakan POV pertama. Penulis menggambarkan dengan jelas pergolakan hidup zahir dan batiniah seroang Amra Aleesa yang menyimpan sebuah dendam kesumat terhadap Khaliq yang telah menyebabkan kematian daddynya. Aleesa yang kembali semula ke tanah air selepas menamatkan pengajian di London berazam untuk melunaskan dendamnya walaupun mendapat tentangan daripada Mummynya.

Niat Aleesa ini turut disokong oleh abang sepupunya Abang Zi yang suatu ketika dahulu pernah menjadi orang kanan daddynya. Aleesa telah mengambil keputusan untuk menjatuhkan Khaliq dengan cara mendekatinya. Langkah pertama Leesa berjaya apabila dia berjaya diterima sebagai PA Khaliq. Namun niat Leesa ini untuk membalas dendam selalu sahaja hampir terbengkalai disebabkan oleh ketampanan dan sikap romantik Khaliq yang memang terang-terangan ingin memilikinya. Di sini pada saya, penulis berjaya menggambarkan kekusutan emosi dalaman Leesa yang berperang antara dendam dengan godaan berbisa Khaliq he he.

Hingga suatu ketika, Khaliq melamar Aleesa secara paksa di sebuah kedai emas he he. Dia diberi masa dua minggu untuk memberikan jawapan. Masa bersama dengan ugutan keras untuk tiada penolakan. Aleesa kusut memikirkan hal ini namun demi dendam dan ini adalah cara terbaik untuk menjatuhkan Khaliq kerana dia berada dekat dengan lelaki itu menyebabkan Leesa bersetuju berkahwin dengan lelaki itu walaupun dia tahu mendapat tentangan daripada mummynya yang meminta dia melupakan dendam tersebut.

Khaliq dan Aleesa melangsungkan perkahwinan tanpa kehadiran mummy Aleesa yang terlebih dahulu telah dihantar bercuti ke luar negara oleh anaknya sendiri. Perkahwinan berlangsung dengan meriah. Syarat Aleesa agar memberikan masa kepadanya oleh Khaliq pastinya disia-siakan begitu sahaja oleh Khaliq he he. Walau bagaimanapun, ketika Aleesa memegang dokumen penting kemusnahan Khaliq, barulah dia tahu kebenaran sebenar. Khaliq bukan penyebab daddynya tetapi daddynya sendiri yang bersikap kejam terhadap orang lain dan selama ini banyak membuatkan mummynya menderita secara diam-diam. Pahitnya kebenaran ini didedahkan oleh Sahil sahabat baik Khaliq yang tidak mahu melihat sahabatnya yang begitu mencintai isterinya tetapi dikhianati terus dikhianati oleh isterinya sendiri.

Macam biasalah, apabila kebenaran terbongkar maka timbul pula rasa tidak layak dan penyesalan dalam diri Aleesa menyebabkan dia mengambil keputusan untuk lari meninggalkan suaminya. Yang lebih menggeramkan Khaliq, isterinya sanggup memberinya ubat tidur semata-mata untuk melepaskan diri. Namun diktator dan pencinta sejati seperti Khaliq he he tak akan melepaskan isterinya. Mestilah dikejar dan dipujuk semula....dan HAPPY ENDING. Dapatan novel :-

  1. DENDAM PEMUSNAH KEHIDUPAN. MEMANG SUKAR UNTUK MEMADAMNYA TETAPI JIKA TERUS DISIMPAN IA AKAN MENJADI BARA YANG KEKAL MEMBAKAR JIWA.
  2. HULURKAN KEMAAFAN JIKA ITU ADALAH NILAI UNTUK SEBUAH KEBAHAGIAAN.

#Oooh ya...Khaliq ada kisah tersendiri tau...kisah sedih yang menjadikan dia seorang lelaki tabah yang teguh dengan pendirian dan keperibadian sehingga dia berjaya menjadi dirinya sekarang.

#Aleesa ni juga merupakan cinta pandang pertama Khaliq . Di mana mereka berjumpa...dua ni saya tinggalkan untuk anda baca ya he he

"Am i that handsome"......ni ayat membeli jiwa Aleesa oleh Khaliq setiap kali si gadis terpegun mememandangnya he he


3/60 SAHUTAN CABARAN 60 NOVEL SETAHUN
KOLEKSI BICARA NOVEL (11 JANUARI 2019)



No comments:

Post a Comment

LUQ

Fuiyooo...lama kutinggalkan aktiviti membaca buku ni. Last rancak membaca buku ni rasanya musim sebelum pandemik melanda negara lagi. Oleh s...