Showing posts with label LUAHAN RASA. Show all posts
Showing posts with label LUAHAN RASA. Show all posts

Saturday, 20 September 2025

CATATAN DUKA LUAHAN RASA

 12 Sept 2024 – Khamis

Orang kata nak meringgankan beban minda kita, salah satu cara efektifnya adalah dengan menulis apa yang ada dalam fikiran kita. Apa yang kita rasa, apa yang kita fikirkan, apa yang memberatkan fikiran kita dan apa yang menyesakkan dada kita. Sesuatu yang berat di fikiran dan menyesakkan jiwa namun kita tidak dapat luahkan kepada sesiapapun. Ya…pastinya tempat terbaik untuk kita meluah ada padaNya Allah Zat Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Masuk bulan ketiga pemergian insan yang bergelar suami. Dalam doa saban hari tidak pernah tertinggal memohon moga Allah mengurniakan dan menghadirkan reda dan Ikhlas dalam hati ini kerana sesungguhnya hanya Dia yang mampu mengikhlaskan dan memelihara hati ini daripada keluh kesah dan kesedihan berlarutan. Saya memohon moga Allah hadirkan kelapangan dalam hati ini dan anak-anak agar dapat berlapang dada tanpa ada sedikitpun rasa dengki atas lengkapnya keluarga orang lain. Saya memohon semoga Allah menghadirkan dan mengurniakan kebahagiaan sendiri untuk diriku dan anak-anak yatimku.

Mungkin disebabkan faktor PMS dan emosi ketika uzur menyumbang kepada rasa sedih mendalam yang kualami saat ini. Rasa rindu dengannya. Bayangan kenangan dengannya yang tidak akan berulang lagi. Sungguh hebat ujianMu padaku ya Allah. Namun tidak bermakna hambaMu tidak reda dan tidak menerimanya. Engkau Allahku yang Maha Mengetahui. Tidak ada yang dapat kusembunyikan daripadaMu. Engkau tahu sejauhmana hati ini bereaksi dengan apa yang telah Engkau takdirkan untukku.

Tetapi sebagai manusia biasa, hambaMu yang hina, lemah dan tidak berdaya ini ya Allah, tidak luput daripada rasa rindu, rasa sakit yang tidak terperi. Saya ingatkan saya sudah boleh melewatinya rupanya ya Rabb hambaMu masih belum dapat melaluinya. Tangisan demi tangisan setiap hari menjadi peneman setia. Jika airmata ini boleh dijual pasti sudah banyak keuntungan yang boleh diraih kerana terlalu banyak menangis. Tangisan kerinduan, tangisan kesedihan, tangisan kerisauan, tangisan ketakutan bercampur baur yang membawa kepada tercetusnya satu rasa yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata apa sebenarnya yang saya rasai tika dan saat ini.

Rindu…ya memang rindu. Sakit rindu yang tak berpenghujung bukan sesuatu yang mudah untuk kita atasi. Orang yang tidak mengalaminya hanya akan mampu berkata bersabar tetapi pada dasarnya tanyalah mereka yang pernah melaluinya, ia bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Dari semalam, hati ini begitu kuat untuk merindunya. Rindu pada segala-gala tentangnya. Apatah lagi di saat rasa tidak enak  badan memang ingatan kuat padanya. Dia bukanlah lelaki romantis tetapi dia punya sifat romantisnya yang tersendiri. Dia tidak menunjukkan caring dengan perbuatan seperti mengurut-ngurut atau menemani masuk berjumpa doctor tetapi romantisnya suamiku apabila dia menguatkan saya ketika berada dalam situasi ini. Sungguh saya tidak menyangka romantisnya ini merupakan cara Allah untuk untuk mendidik dan mengajar saya bagaimana untuk berhadapan dengan situasi di saat dia tidak lagi bersama saya.

Jujur…dulu adakalanya saya menjadi cengeng semata-mata meminta perhatian daripadanya ketika rasa tidak sihat. Nak juga dimanja-manja dan dibelai-belai macam dalam drama tetapi dia bukan jenis yang begitu apatah lagi di hadapan anak-anak. Cuma satu perkara yang sangat saya rindukan ialah setiap malam dia pasti akan memastikan saya berada dalam dakapan dadanya sebelum tidur hu hu. Aroma badannya yang menghangatkan tidur malam ku . Kenangan yang pastinya tidak akan berulang kembali. Hanya mampu dikenang dan disimpan rapat dalam hati dan mindaku sehingga ke helahan nafasku yang terakhir.

Rasa rindu ini, pergi dan hadir dalam hati ini. Saya meminta pada Allah agar pada saat rindu ini menyapa dan mencengkam di jiwa, berikan saya kekuatan untuk tersenyum mengenangnya. Berikan saya kekuatan untuk tidak lagi meraung dan menangis berlebihan tetapi di saat rindu padanya menyapa, saya tersenyum kerana sesungguhnya saya menjadi saksi kepada amal kebaikan dan amal ibadahnya.

Di saat orang lain ada tempat mengadu, ada tempat untuk meminta pertolongan, Allah tarik nikmat ini daripada saya. Dulu seandainya saya penat, saya gembira, saya sedih, dia orang yang akan saya paksa dan terpaksa  menjadi pendengar kepada segala luahan rasa saya. Saya selalu berpesan dengan dia, seandainya saya bercakap sila berikan perhatian dan jangan tengok hp. Dia sebenarnya malas melayan karenah bininya. Dia sudah faham dengan perangai bininya yang tidak berhenti-henti bercakap jadi signal untuk berhenti bercakap itu ialah dia akan meneliti hp.

Dulu jika ada barang tertinggal di rumah, saya masih ada back up. Sekarang nikmat ini juga Allah telah ambil. Tiada lagi yang membebel sebab menjadi tukang hantar barang yang tertinggal. Saya melatih diri untuk lebih peka sebelum meninggalkan rumah kerana jika tertinggal maka tiadalah daya lagi.

Dulu saya ada tempat untuk mewasap tidak kira masa. Siang malam, pagi petang, sibuk atau tidak sibuk, saya akan tetap mengirimkan wasap padanya. Kadang-kadang menjadi bahan perkelahian manja kami sebab tidak ada sahutan di saat saya memerlukan responnya dengan segera dan kini tiada lagi semua itu.

Pekara-perkara inilah yang menyebabkan rindu ini sangat menyakitkan. Saya rindu untuk melakukan kesemua di atas. Tetapi hanya padanya. Hanya pada dirinya. Tidak ada orang lain yang akan mampu menggantikannya.

Kadang-kadang apa yang saya dan mereka yang senasib dengan saya rasa, bukannya tidak menerima takdir. Ya Allah, apa lagi yang mampu kami buat. Kami tidak mampu untuk menolak takdir ini. Takdir yang melibatkan ajal dan berakhirnya hidup seseorang merupakan ketentuan Allah yang tidak akan berubah. Apa yang mampu kami lakukan hanyalah berusaha untuk menerima, reda dan Ikhlas dengan takdir ini. Namun ini bukanlah sesuatu yang mudah. Hanya dengan pertolongan dan izinMu ya Allah maka kami akan dapat menerimanya. Oleh itu, dalam doaku setiap masa, memohon supaya Allah mengurniakan kelembutan dan kelunakan kepada kami untuk melalui takdir yang tidak mampu untuk kami tolak. Saya juga memohon  semoga Allah mengurniakan kepada kami kelembutan dalam ujian dan takdir kami ke depannya.

 

PILIHAN TERBAIK : LEWATI & TEMPUHI

  15 Sept 2024 – Ahad

 Alhamdulillah keputusan egTukar telahpun diketahui. Permohonan pertukaran saya kembali bertugas ke negeri asal telah berjaya dengan izin Allah. Ketika saya mengambil keputusan untuk  berpindah, perkara utama yang saya lakukan adalah solat isthikarah iaitu meminta bantuan dan petunjuk daripada Allah agar setiap tindakan ini adalah atas redaNya. Saya menerima kunjungan daripada beberapa orang penting pendidikan di negeri tempat saya berkhidmat sekarang dan juga di negeri tempat saya ingin berpindah. Daripada situ, saya mendapat banyak sokongan dan panduan cara untuk mendapatkan pertukaran ini.

 Namun demikian, ia tidaklah berlaku dengan mudah. Allah tetap bagi ujian-ujian ketika dalam proses pengurusan perpindahan ini yang memerlukan tumpahan air mataku kepadaNya. Saya memandang ini dari sudut Allah ingin saya betul-betul berharap hanya kepadaNya. Di saat saya menangis sampai meraung apabila masalah-masalah timbul dalam sepanjang pengurusan perpindahan ini, sesungguhnya Allah selitkan kemudahanNya yang tidak terhingga.

 Dalam melalui pengurusan proses perpindahan ini, ada yang Allah rencanakan sesuatu untuk saya pada masa hadapan. Ini disebabkan ada permintaan saya kepada Allah yang tidak seperti apa yang saya harapkan namun apabila saya mula bertenang dan bermuhasabah diri, Allah hadirkan kejernihan minda untuk menerimanya. Berbekalkan keyakinan Allah sedang mengatur yang lebih baik untuk saya pada masa akan datang. Berkali-kali saya ingatkan diri bahawa kita merancang, Allah juga merancang dan pastinya rencana Allah adalah yang terbaik.

Dilema sekolah mana saya ditempatkan, saya juga serahkan sepenuhnya kepada Allah. Saya tidak tahu tempat yang terbaik. Saya hanya berharap dapat tempat yang logiknya lebih dekat dengan rumah saya tetapi rencana Allah menempatkan saya di sekolah yang lebih jauh namun pastinya ini adalah yang terbaik untuk saya. InsyaAllah.

Saya juga agak berdebar untuk berhijrah. Penghijrahan ini bererti saya kena bermula daripada awal. Namun, dalam situasi sekarang saya memerlukan persekitaran baharu untuk memasuki fasa baharu dalam hidup saya. Ya Allah, Engkau meminta saya menjalaninya dan saya akan menjalaniNya. Bantu saya ya Allah. Tolong saya ya Rabb. Kali ini, saya umpama mula membina kehidupan yang betul-betul saya sandarkan hanya padaMu.

Tempat kerja baharu sesuatu yang saya harapkan dalam keadaan yang baik-baik sahaja ya Allah. Kurniakanlah kepada hambaMu ini suasana kerja dan majikan yang membolehkan hambaMu dapat terus beribadah kepadaMu. Jika dibayangkan, jika difikirkan apa yang ada di hadapan, saya memang tidak berdaya ya Allah. Apa yang saya mampu lakukan sekarang hanyalah berserah dan bersandar hanya padaMu.

 

RESAH BERGANDA DEBARAN TERSERLAH

  13 Sept 2024 – Jumaat

Hari yang mendebarkan. Selalunya pada waktu-waktu seperti ini, dia akan menjadi pusat kegelisahanku. Dialah yang akan menjadi tempat ku meluahkan rasa gelisah dan ketakutan tentang apa-apa sahaja yang ditunggu-tunggu. Kalau istilah orang Labuan, “iya tah tampatku mengusut”.

Dalam keadaan seperti ini, saya sudah boleh menjangkakan reaksinya seandainya dia masih ada. Dia seorang yang sangat cool. Tenang dan sentiasa santai di posisinya. Apabila berlaku situasi seperti ini, biasanya dia bukan jenis yang berlebihan dalam mengeluarkan kenyataan atau reaksi. Standard reaksinya yang pasti dia berikan ialah bertenang dan jangan memaksa dalam sesebuah keadaan. Ayat yang selalu dia gunakan

 “…kita tidak boleh memaksa sesuatu keadaan mengikut kehendak kita. Yang penting berdoa dan selebihnya yakinlah kepada Allah. Kamu susah-susah hatipun tiada yang boleh dibuat”.

 “…aikkk masalah masalah…bagus-bagus tiada masalah sendiri cari masalah. Jangan difikir masalah yang tidak boleh kita selesaikan. Tenang saja. Solat dan doa saja. Allah tahu mana yang terbaik.:

Inilah kata-kata standard yang saya dengar setiap kali saya mengadu tentang apa-apa saja kerisauan dan kegelisahannya. Adakalanya sikap cool dan tenang dia ni menjengkelkan saya sebab naluri perempuan saya mau dia akan concern dengan apa yang saya bagitau. Means, dia akan beri reaksi yang ‘berlebihan’ tapi ya memang begitulah gayanya dan sikapnya. Dari sini saya bersyukur dikurniakan seorang suami yang penyabar dan penyayang sebenarnya.

Hari ini keputusan egTukar bakal keluar. Katanya dalam jam 6 petang baru keputusan rasmi akan keluar. Pada dasarnya saya sangat berharap untuk mendapat berita gembira berjayanya pertukaran saya ke Kota Kinabalu. Di mana tempatnya, saya berserah kepada Allah kerana Dia lebih mengetahui tempat terbaik untuk saya. Adakalanya terbit dalam benak fikiran, adakah tindakan saya ini betul atau adakah saya cuma ingin melarikan diri daripada masalah yang ada.

Namun setelah difikirkan berkali-kali, saya yakinkan diri saya bahawa inilah keputusan terbaik untuk kami sekeluarga pada situasi ini. Allah meminta saya untuk menjalani the new chapter in my life jadi ia memerlukan penghijrahan agar segala rasa yang saya alami dan lalui sekarang ini dapat dirungkaikan dengan satu kekuatan agar dapat memulainya dengan lebih bersemangat dengan adanya persekitaran dan suasana baharu. Bukan mudah untuk memulainya. Bukan mudah juga untuk meninggalkan zon selesa yang sudah sebati dengan diri dan anak-anak namun kami tidak ada pilihan.

 

LUAHAN SYUKUR PENGUBAT RESAH

 TARIKH          :           18 JULAI 2024 - KHAMIS

Terima kasih untuk hal-hal hari ini ya Allah. Terima kasih di atas setiap nikmat dan rahmatMu yang tidak terhingga ya Allah. Segala puji hanya milikMu. Hanya Engkau yang mampu menghadirkan setiap rasa yang ada di dalam hati ini.

 

1.  Terima kasih ya Allah kerana mengurniakan hari baru untukku. Terima kasih ya Allah kerana masih mengizinkan hambaMu ini untuk terus hidup di muka bumi milikMu ini. Terima kasih kerana dengan nikmat hari baru ini Engkau memberikan hambaMu satu hari lagi di kehidupan ini.

 

2. Terima kasih ya Allah atas nikmat Kesihatan yang Engkau berikan kepadaku sepanjang hari ini ya Allah. Tubuh badan dan fizikal ku berada dalam keadaan yang sihat tanpa sebarang kesakitan sepanjang hari ini. Terima kasih juga kerana anak-anak dalam keadaan yang sihat.

 

3.  Terima kasih ya Allah di atas kelapangan yang Engkau berikan di saat hambaMu berada dalam keadaan yang tertekan. Terima kasih ya Allah kerana menghadirkan tangisan yang mulanya sangat menyakitkan namun melegakan perasaan.

 

4.  Terima kasih ya Allah, memberikan kesempatan untukku berbicara dan meluahkan rasa yang terbuku di dada. Rasa sakit yang mencengkam di jiwa. Kegelisahan, kerisauan dan ketakutan yang menghambat fikiran dan perasaan ku. Terima kasih kerana sudi mendengarnya. Terima kasih ya Allah kerana Engkau maha baik. Moga setiap doa dalam tangisan ku akan Engkau perkenaankan ya Allah.

 

5. Terima kasih ya Allah kerana memudahkan segala urusan ku di Public Bank. Bayaran yuran ulangan anakku dan juga mendapatkan Salinan kad VIOS. Terima kasih atas kemudahan ini ya Allah.

 

6.  Terima kasih ya Allah kerana masih menghadirkan peneman yang setia menemani kami di rumah. Di saat hati ini masih rapuh dan lemah kerana bertarung dengan ketakutan dan ketidakupayaan, masih ada insan yang kau hadirkan untuk membantu hambaMu, Kurniakan redha dan rahmatMu ke atas orang-orang baik ini ya Allah.

 

7.  Terima kasih ya Allah kerana masih ada yang datang bersedekah. Moga engkau merahmati mereka.

 

KULEPASKAN SEGALA KESEDIHAN KU HARI INI DALAM JANGKAUANMU YA ALLAH. KESAKITAN MENDENGAR KATA-KATA PAHIT. KERINDUAN YANG MENDALAM YANG SENTIASA MENCENGKAM DI JIWA. KERISAUAN TERHADAP URUSAN KAD OKU ANAKKU ESOK…SEMUANYA KUSERAHKAN KEPADAMU. MOGA SINAR BAHARU ESOK PAGI, BERKAT KEBERKATAN HARI JUMAAT MAKA PERMUDAHKANLAH URUSAN KAMI YA ALLAH.

REVIEW KDRAMA : OH MY GHOST CLIENTS

Kdrama ini memang saya dah lama tunggu untuk menontonnya. Tapi disebabkan kekangan masa maka barulah saya dapat meluangkan masa untuk drama ...