Friday, 30 December 2022

SUAMIKU MR SPICY 2


Image result for novel suamiku mr spicy

Okei..ni sekuel untuk novel sebelumnya ya iaitu Suamiku Mr Spicy...saya ada juga buat review tentang novel pertama dalam blog saya...korang bolehlah cari. Kesinambungan daripada kisah pertama antara Noah dan Farihan. Kalau nak tau macamana mereka ni boleh berkahwin kenalah baca yang pertama ya he he sebab awal-awal novel ni memang nampak sangat kemesraan antara pasangan ini. Kebahagiaan mereka semakin mekar apabila Ehan disahkan hamil. Noah yang sebelum ni merupakan ketua gangster telahpun berubah selepas peristiwa kehilangan Ehan yang termasuk ke dunia bunian akibat perbuatan abang kandung dan bekas tunang Ehan.

Kegembiraan mereka kongsi bersama dengan ayah dan abang Ehan iaitu Hazeem. Hubungan Hazeem dan Noah juga semakin baik. Kerukunan keluarga mereka tergugat dengan kemunculan mak kandung Ehan yang telah melarikan diri bersama lelaki lain. Saya hampir tergelak apabila membaca nama ibu Ehan iaitu Rosmah oppps he he...tapi sebenarnya ibu Ehan ni tidaklah terlalu jahat tetapi disebabkan mengikut kehendak suami barunya iaitu Rahmat.

Rahmat telah menikam ayah Ehan di hadapan Rosmah sewaktu mereka tanpa malunya datang ke rumah itu untuk meminjam wang. Kesan tikaman itu menyebabkan ayah Ehan meninggal dunia. Hal ini menyebabkan Noah menjadi berang dan mula menjejaki mereka. Kemarahan Noah tidak semakin membara apabila Rahmat membuat pengakuan. Namun Rahmat dan konco-konconya terlepas ketia Ravi bodyguard utama Noah keluar. 

Rahmat telah mengatur rancangan untuk mengugut Noah dan sasaran mereka adalah Ehan. Peristiwa malang berlaku apabila kereta yang dinaiki oleh Ravi dan Ehan kemalangan selepas ditembak oleh Rahmat. Hal ini menyebabkan Ehan yang memang menunggu hari untuk bersalin, telah melahirkan anaknya dalam keadaan dia sendiri cedera parah. Namun malangnya Rahmat telah menculik bayi mereka.

Pastinya hal ini menjadikan Noah semakin berang. Dia berusaha menjejaki Rahmat dan akhirnya menemui mereka namun malangnya waktu itu bayinya telah mati. Part ni memang sedih tau...Rosmah cuba melindungi cucunya namun apalah kudrat yang dia ada malah dia juga dikurung oleh Rahmat. Ketibaan Noah ke tempat Rahmat membawa kepada pergaduhan mereka. Rahmat yang cedera akibat dibelasah dan ditembak oleh Noah, berjaya membalas menembak Noah sewaktu Noah teralpa seketika apabila mengetahui bayinya telah meninggal dunia.Kesempatan ni digunakan oleh Rahmat untuk melarikan diri. Dia telah melepaskan tembakan kepada Noah namun ibu mertua Noah iaitu Rosmah melindungi Noah dan terkorban.

Sedih sangat saat Noah menggali sendiri kubur anaknya menggunakan tangan hu hu dan tidak membenarkan sesiapa membantunya kerana dia tidak mahu apa-apa berlaku pada badan anaknya. Noah hanya mampu menangisi bayinya yang tidak bernyawa. Di sini peranan Ehan untuk menguatkan suaminya sangat penting. Ehan dan Noah saling menguatkan antara satu sama lain di saat mereka diuji dengan kehilangan bayi yang mereka nanti-nantikan selama ini berjaya mendamaikan jiwa saya bergetar hebat dengan situasi sedih itu. Akhirnya kebahagiaan milik mereka..k dapatan novel ni :-

  1. TAMAK MEROSAKKAN HIDUP MANUSIA
  2. HIDAYAH MILIK ALLAH
#Apa yang terjadi kepada Ravi, bodyguard kepercayaan Noah dan kawan bertikam lidah Ehan kerana dia juga turut cedera teruk dalam kemalangan itu.

#Apa penghujung kisah Rahmat. Apa pembalasan yang dia dapat? Korang carilah sendiri.

19/60 CABARAN MEMBACA 60 NOVEL SETAHUN
KOLEKSI BICARA NOVEL - 13 FEBRUARI 2019

PENSYARAH HOT ITU SUAMI AKU


Image result for hero pensyarah hot itu suamiku

Novel ni antara yang termahal dalam list novel preloved. Harga mencecah RM 120 belum termasuk postage hu hu sebab tu lah novel ni tidak mampu untuk dimiliki. Nasib jugalah ada rakan dalam group gojes yang sudi meminjamkan buku ni. Jauh buku ni terbang dari semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan he he. Buku ni karya MUM LINZ dan ini bukan karya pertama beliau yang saya baca rasanya tak tahulah pula kalau sebelum ni saya tidak pernah buat review karya beliau (kes malas nak menyelongkar semula ha ha)

Kisah mahal ni tentang seorang pensyarah hot yang begitu digilai ramai termasuklah murid dan rakan sejawatnya. Ketampanan dan keperibadian Aduka Eskandar ni memang memukau mata para wanita...itu yang digambarkan dalam novel ni lah sampaikan ada yang sanggup jadi peminat fanatik kepada pensyarah itu. Namun  biasalah heroin kan...semestinya satu-satunya gadis yang tidak menyimpan apa-apa perasaan pada pensyarahnya malahan dia amat meluat dengan gadis-gadis yang begitu fanatik terhadap lelaki itu.

Konflik bermula apabila Dewi telah dipaksa untuk berkahwin dengan anak kawan baik ayahnya. Demi tidak menyakiti hati ayahnya maka terpaksalah dia bersetuju dalam terpaksa dengan permintaan ayahnya. Tambah mengejutkan bakal suaminya itu adalah si pensyarah hot. Maka bermulalah episod gaduh-gaduh manja tidak mahu berkahwin antara mereka namun atas dasar tidak mahu jadi anak derhaka maka kedua-duanya bersetuju dengan aturan ibu bapa mereka. Pernikahan mereka terpaksa dipercepatkan selepas insiden tidak sengaja mereka tidur bersama (tanpa melakukan apa-apa ya) di rumah Dewi menyebabkan mereka akur dalam keterpaksaan.

Selepas pernikahan itu, Dewi meminta suami hotnya supaya merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan umum kerana tidak mahu berhadapan dengan risiko berani mati para peminat fanatik suaminya. Namun kisah pernikahan mula terbongkar apabila Rayyan sahabat mesra si Dewi mula menyimpan dendam kerana ditolak cintanya. Hal pernikahan ini juga turut diketahui oleh dua rakan baik Dewi yang sentiasa menyokong sahabat mereka. Fitnah demi fitnah telah dikenakan ke atas Dewi oleh orang yang cuba menganaiyainya. Hal menjadi semakin rumit apabila Kayla mula campurtangan untuk memburuk-burukkan Dewi.

Sehinggalah apabila Dewi disahkan mengandung, dia telah dituduh mengandung anak luar nikah. Pensyarah Hot yang tidak sanggup melihat isterinya dihina maka telah mendedahkan hal yang sebenar. Maka bermula episod dendam-mendendam daripada peminat kedua-dua belah pihak suami itu. Namun pasangan ini teguh bersama melalui segala cabaran dalam hubungan mereka sehinggalah kemuncaknya Dewi telah diculik oleh Rayyan dengan kerjasama Kayla. Dalam penculikan ini menyebabkan seorang daripada anak kembar Dewi + Aduka telah meninggal dunia.

Ketika dalam keadaan yang masih trauma, terbongkarlah lagi satu kisah kejam dalam hidup Dewi apabila gambarnya tanpa seurat benang berpelukan dengan Rayyan ketika dia tidak sedarkan diri menjadi duri kejam dalam hidup Aduka. Aduka yang tidak dapat menerima hakikat itu tidak mampu untuk menerima isterinya. Dia telah menjauhkan diri daripada isterinya yang sedang  mengandung. Tindakan kejam Aduka ini menimbulkan kemarahan ahli keluarga namun Aduka tidak dapat memujuk hatinya untuk menerima Dewi yang tidak bersalah.

Apabila Dewi mula menjauhkan diri, meninggalkan suaminya dan ada lelaki lain yang cuba mendekatinya menyebabkan Aduka pula tidak senang duduk. Akhirnya Aduka tidak dapat menahan rasa dan terus mendapatkan semula isterinya...k HAPPY ENDING...dapatan novel ini:-
  1. JANGAN RIAK DENGAN KELEBIHAN YANG KITA MILIKI TAKUT NANTI ALLAH UJI KITA DENGAN HAL TERSEBUT.
  2. KUASAI DAN JAGA HATI DAN MINDA KITA AGAR KUAT DALAM MENGHADAPI CABARAN HIDUP
#Kisah ni tentang orang sakit jiwa sebenarnya...Rayyan sakit jiwa...Kayla juga ada unsur sakit jiwa sebab Dewi...apakah puncanya korang baca eeeh.

#Itulah kisahnya buku yang mahal ini ha ha.....

21/60 CABARAN MEMBACA 60 BUAH NOVEL
KOLEKSI BICARA NOVEL  - 06 MAC 2019

Thursday, 22 December 2022

THE FIERY PRIEST

 

JANGAN BIARKAN KEHIDUPAN MASA LALU ANDA MENGANGGU MASA DEPANMU KERANA KEHIDUPAN MASA LALU ANDA TIDAK MENGGAMBARKAN APA YANG AKAN BERLAKU PADA MASA HADAPAN.

Ini kata-kata dalam drama ini yang terpahat dalam minda saya. Saya berkenalan dengan drama ini daripada tiktok. Saya mula berminat untuk menontonnya ada dua sebab iaitu pertama heroin dalam drama ini memang antara aktres Korea yang saya suka dan yang kedua ada yang memberikan komen katanya drama ini merupakan antara lakonan terbaik Kim Nam Gi walaupun ini kali pertama saya menonton lakonan beliau. Pada dasarnya, drama ini antara Kdrama yang baik dengan  jalinan dan olahan plot yang menarik namun tidak berjaya menarik para penonton di Korea menyebabkan ia underated drama.

Jika anda mencari review untuk drama ini, saya ingin maklumkan bahawa permulaan dan perkembangan cerita memang agak slow dan sebab itulah ramai yang cepat boring dan tidak menghabiskan tontonan mereka. Tapi percayalah jika anda terus mengikuti perkembangan plot cerita ini maka anda akan mula rasa seronok dan akhirnya berjaya menghabiskan 20 episod drama ini dengan puas hati.

Drama ini banyak memaparkan kisah kehidupan para penganut agama katolik sebab itulah anda akan Nampak watak-watak paderi dan sister namun pada saya tidaklah sampai menonjolkan unsur dakwah yang sensitif. Masih ok untuk ditonton. Malahan drama ini langsung tidak ada kisah cinta-cinta sesuai dengan latar belakang drama yang berkisah kepada kehidupan para biara dan biarawati katolik.

Kim Hae Il juga dikenali sebagai Fr Kim/Micheal merupakan seorang paderi yang panas baran. Dia sangat sensitif dan mudah marah malah dia akan bertempik atau menjerit jika berlaku perkara-perkara yang dia tidak sukai. Contohnya, Ketika dia sedang mengendalikan misa kudus, ada seorang umatnya yang makan roti, bunyi geseran plastik roti itu sendiri boleh menimbulkan kemarahannya dan mengusir penganut tersebut.panas barannya ini sangat difahami oleh Fr Lee yang juga orang yang mendidiknya sehingga dia menjadi seorang paderi dan sebab itulah dia sangat hormat dan sayang kepada Fr Lee. Konflik bermula apabila Fr Lee ditemui mati seolah-olah dia bunuh diri terjun daripada gaung disebabkan dia terlibat dengan kes penyalahgunaan duit gereja dan gangguan seksual kepada penganut Wanita.

Fitnah kejam terhadap Fr Lee ini menimbulkan kemarahan Fr Kim, Fr Han dan seluruh biarawati di Gudam Cathderal. Di sinilah bermulanya usaha Fr Kim untuk menyiasat punca kematian sebenar Fr Lee kerana disebabkan fitnah tersebut kematian Fr Lee amat menyayatkan hati. Dia malah tidak dikebumikan dalam Kawasan perkuburan para paderi. Maruah Fr Lee perlu dibersihkan kerana dia bukanlah manusia seperti apa yang telah disebarkan oleh fitnah pihak-pihak tertentu.

Pendakwa raya Park Gye Seong merupakan Wanita yang agak gila-gila sedikit. Disebabkan oleh latar belakang keluarganya yang naif sejak dari kecil menjadikan dia seorang Wanita yang mementingkan kesenangan hidupnya sendiri tanpa mempedulikan hal orang lain. Oleh sebab itulah, dia mudah dipergunakan oleh team penjahat yang dianggotai oleh ketua jabatannya sendiri. Ms Park ini merupakan penganut agama katolik dan juga rapat dengan Fr Lee. Dia tahu bahawa kematian Fr Lee memang ada sesuatu di sebaliknya tapi demi menjaga kepentingannya sendiri dia sanggup mengikut arahan bosnya untuk menutup kes tersebut. Di sinilah bermula pertelingkahan dia dengan Fr Kim.

Detektif Gu yang mengalami trauma kehilangan rakan sekerja menjadi polis yang hanya mengikut arahan ketua dan geng jahatnya kerana tidak mahu kematian rakan sekerjanya akan berulang lagi. Sebab itulah Detektif Gu dijadikan sebagai alat oleh ketua polis Nam untuk menjadi pegawai yang akan mengawal Fr Kim selepas Pope mengarahkan kes kematian Fr Lee disiasat semula dan meminta supaya Fr Kim dilibatkan sebagai pemerhati. Di awal kerjasama mereka memang wujud ketidakserasian namun lama kelamaan dengan kesungguhan yang ada pada Fr Kim akhirnya membuka mata Detektif Gu untuk bekerjasama sepenuhnya dengan Fr Kim menyiasat punca sebenar kematian Fr Lee.

Detektif Seung merupakan detektif wanita yang baharu dilantik. Disebabkan dia tidak mengetahui apa-apa tentang trauma yang pernah dialami oleh rakan sekerjanya maka dia lebih berpihak kepada Fr Kim. Dialah yang banyak membantu Fr Kim dan juga membuka mata para detektif untuk bertugas dengan lebih bertanggungjawab dan mengikut tugas polis yang sebenar serta bebas daripada cengkaman rasuah oleh pihak-pihak tertentu.

Akhirnya watak-watak di atas bergabung dalam usaha membanteras kejahatan dan penyelewengan yang dilakukan oleh Ms Jeong A (Ketua Pegawai Daerah), Chief Nam(Ketua Polis Daerah), Chief Kang (Ketua Pendakwaraya) dan Mr Hwang (usahawan) yang juga ada kaitannya dengan kematian Fr Lee. Di sini banyak peristiwa-peristiwa lucu yang mencuit hati dan pasti menghiburkan anda he he.

Di pertengahan cerita muncul pula watak Lee Jong Gyun iaitu bekas ketua Fr Kim ketika mereka sama-sama bertugas di NIS. Ahaa…Fr Kim ni sebenarnya adalah agen NIS yang terkenal sebagai agen berani dan tangkas. Sebab itulah ketika dia sudah bergelar Fr Kim pun dia boleh bertarung dengan musuh-musuhnya dengan mudah. Dia juga dapat mengatur strategi menyiasat kematian Fr Lee dengan teratur disebabkan pengalamannya ketika menjadi agen NIS.

Pengakhiran cerita jangan risau ya..memang happy ending sesuai dengan genre cerita ini. Semua watak akhirnya memperolehi kehidupan yang lebih baik dan dalam keadaan yang aman. Korang kena tengok sebab banyak plot twist dan kejutan-kejutan yang melucukan tapi mendebarkan dalam drama ini. Memang tidak kering gusi ketika menontonnya. Sesuailah drama ini dikelompokkan dalam genre comedy tapi mengasyikkan.

Sunday, 18 December 2022

THE SECRET LIFE OF MY SECRETARY

 


Drama ini jalan cerita dia agak ringan sahaja. Bolehlah ditonton dalam keadaan yang santai sebab tidak ada tekanan atau konflik yang berat dalam drama ini. Saya kebetulan mencari drama santai yang boleh ditonton dalam keadaan tenang tanpa memerlukan penghayatan atau fokus yang mendalam untuk memahami jalan ceritanya. Drama ini ada 16 episod dan saya menghabiskannya dalam tempoh dua hari sambil-sambil melipat kain yang bertimbun he he.

Kisah tentang perjuangan para setiausaha yang mewakili golongan pekerja kontrak yang bila-bila masa boleh ditamatkan kontraknya oleh majikan mereka tanpa sebarang pembelaan. Disebabkan mereka adalah pekerja kontrak maka kebajikan mereka kurang dititikberatkan oleh majikan. Mereka sentiasa dipergunakan dan diperlakukan secara kasar oleh majikan menyebabkan mereka akhirnya membentuk kumpulan Eulgok yang menuntut keadilan kepada golongan ini. Namun cara mereka ini tetap salah dari segi undang-undang sebab mereka memanipulasi duit syarikat untuk membantu golongan yang teraniaya. 

Do Min Ik pewaris kepada sebuah syarikat media pernah melalui proses pembedahan otak ketika dia berusia 7 tahun. Dia sebenarnya anak yang mendambakan kasih sayang ibunya kerana selama ini ibunya melayannya dengan dingin. Apatah lagi setelah kematian ayahnya. Min Ik berusaha untuk mendapatkan kepercayaan dan kasih sayang ibunya yang menetapkan agar dia perlu menjadi CEO syarikat itu seandainya ingin kekal di rumah tersebut. Malang bagi Min Ik apabila kepalanya terhantuk dalam satu kejadian serang hendap menyebabkan cip dalam kepalanya tersasar. Ini membuatkan dia tidak boleh melihat wajah orang lain kecuali setiausahanya iaitu Jung Gal Hee namun setelah diselidiki oleh doktor peribadinya, rupanya dia hanya dapat mengenali Ms Jung kerana cara pemakaian atau identiti Ms Jung yang sentiasa memakai cardigan merah. Seandainya Ms Jung tidak memakai cardigan tersebut Min Ik juga tidak dapat melihat wajahnya. Dia pada mulanya memecat Ms Jung setelah habis setahun tetapi terpaksa mengambil semula apabila dia berhadapan dengan masalah tersebut kerana hany Ms Jung yang boleh membantunya mengenali orang lain. Min Ik berusaha untuk mengatasi masalah ini agar tidak ketara dalam kalangan ahli pengarah yang lain sebab dia akan bertanding untuk jawatan CEO melawan pakciknya CEO Sim. Min Ik paling pantang ditipu sebab dia pernah dikhianati oleh setiausaha yang paling dipercayainya sebelum ini. Sebab itulah apabila Ms Jung menipunya, dia berasa sangat marah dan tidak boleh memaafkan walaupun dia menyukai Ms Jung.

Jung Gal Hee. Gambaran tipikal gadis biasa-biasa yang tidak mementingkan penampilannya. Disebabkan kesusahan hidup yang dia lalui selepas kematian ibunya menyebabkan dia tekun bekerja demi menyara abangnya yang buta dan juga menyempurnkan impian mereka untuk menghantar adiknya belajar ke luar negara. Satu ketika dia telah mengatur blind date bosnya Min Ik dengan ex bosnya Veronica Park. Tetapi Veronica telah tersalah berjumpa dengan orang yang sepatutnya kerana CEO Sim juga mengatur pertemuannya dengan Ki Dae Joo yang merupakan sahabat baik Min Ik. Jadi untuk menutup hal itu, Ms Jung telah menyamar menjadi Veronica Park kerana jika dia tidak memakai cardigan merah Min Ik juga tidak dapat mengecam wajahnya. Di sinilah konflik berlaku apabila dia pada mulanya melakukan itu hanya untuk suka-suka tetapi berlanjutan apabila Min Ik telah jatuh cinta dengan Veronica tiruan. Apabila hal ini diketahui oleh Min Ik maka dia telah dipecat.

Veronica Park. Watak ini agak menarik perhatian saya he he sebab dia jauh lebih cantik di mata saya berbanding dengan heroin. Trademark dia ialah Hello I'm Veronica Park...Awesome he he. Veronica ni adalah anak orang kaya dan merupakan CEO kepada Cinepark. Dia memang sukakan lelaki. Dia tahu lelaki2 yang mendekatinya lebih kepada mempergunakannya dan mengejar hartanya. Sebab itulah apabila Dae Joo bersikap dingin dalam pertemuan pertama mereka menyebabkan Veronica rasa tercabar dan lama-lama jatuh cinta dengan Dae Joo. Walaupun pada awalnya dia memang tidak ngam dengan Ms Jung tapi disebabkan dia nak mengejar cinta Dae Joo maka dia memaksa Ms Jung agar terus berlakon sebagai dirinya . Mereka akhirnya jadi kawan yang boleh menghiburkan antara satu sama lain. Dalam jahat-jahat Veronica ni dia baik sebenarnya cuma didikan ibunya yang kasar terhadapnya menjadikan dia begitu.

Ki Dae Joo sahabat baik Min Ik sejak kecil. Ibu Dae Joo merupakan setiausaha kepada ayah Min Ik. Mereka berdua sangat rapat seperti adik beradik malah menggelar wifey antara satu sama lain. Konflik bermula apabila dia membawa Min Ik untuk berjumpa di tempat rahsia mereka tapi dia tidak muncul dan pada waktu inilah Min Ik telah diserang hendap. Dae Joo jadi suspek sebab dalam rakaman CCTV dia ada di tempat kejadian malah terlihat berkomunikasi dengan penyerang yang cuba membunuh Min Ik. Namun disebabkan kuatnya ikatan persahabatan mereka maka konflik dapat diselesaikan dengan kepercayaan yang kuat antara mereka berdua.

Drama ini pastinya happy ending. No stress. Just santai saja. 

Monday, 12 December 2022

LITTLE WOMAN

 

Fuuhhh...drama ni memang plot twist sangatlah bagi saya. Rata-rata orang yang diharapkan akan menjadi saksi utama atau penyelesai masalah menjadi musuh dalam selimut atau berpaling tadah pada saat-saat akhir. Sakitnya hati apabila dikhianati sebegini. 

Kisah 3 adik beradik perempuan yang berhadapan dengan masalah kemiskinan. Ayah yang menjadi sandaran kepada keluarga ini melarikan diri ke Filipina disebabkan tekanan hutang yang tidak terbayar. Ibu mereka turut menyusul ke Filipina mengikut suaminya dan meninggalkan ketiga-tiga anak perempuannnya. Lebih mengecewakan apabila ibu mereka pergi ke Filipina tersebut menggunakan duit yang dikumpulkan oleh In Joo dan In Kyung untuk membiayai lawatan sambil belajar adik mereka ke Eropah.

Konflik bermula apabila Cik Jin kawan baik In Joo di pejabat mati membunuh diri dan mayatnya dijumpai sendiri oleh In Joo di apartmen milik sahabatnya itu. Kematian sahabatnya ini juga menjadikan In Joo jutawan segera kerana sahabatnya telah meninggalkan 2 bilion won untuknya. In Joo berperang dengan diri sendiri sama ada mahu menggunakannya atau tidak. Dia mendapat tentangan hebat daripada In Kyung yang merupakan wartawan yang berpegang kepada prinsip keadilan.Muncul pula Choi Do Il yang banyak membantu In Joo dalam hal kewangan sebab tiba-tiba In Joo mempunyai 70 bilion won dalam akaun yang dibuka atas namanya di Singapura. 

Cerita ini mula berkembang dengan watak antagonisnya terarah kepada Park Jae Sang seorang ahli politik yang bercita-cita untuk menjadi Datuk Bandar Seoul dan seterusnya Presiden Korea. Dia sanggup melakukan apa sahaja demi merealisasikan impiannya. Di sampingnya adalah isterinya Wang Son Ah yang nampak lembut ala-ala perempuan ayu dan baik. Banyak sangat kisah kejahatan diorangnya yang cuba dibongkar oleh In  Kyung.

In Kyung ni watak seorang wartawan yang tidak mudah putus asa. Dia tidak menjadikan wang sebagai hambatan utama dalam hidupnya walaupun mereka hidup dalam kemiskinan. Mungkin sebab dia pernah dipelihara oleh nenek saudara mereka yang kaya dan melalui pelbagai peristiwa yang menyakitkan. In Kyung ni agak tegas dalam pendiriannya. Dia agak keras kepala dalam  mempertahankan sesuatu yang diyakininya. Dialah sumber penyelesai masalah yang  berkaitan dengan kejahatan Park Jae Sang dalam drama ini. Dia jugalah bersama dengan bakal teman lelaki yang juga sahabat karibnya dari kecil menyiasat dan membongkar segala kegiatan jahat mereka. Nampak watak In Kyung ini gigih tapi adakalanya menyebalkan he he sebab keras kepala dia kadang-kadang tidak kena pada masanya malah membawa kepada tindakan membabi buta yang akhirnya menguntungkan pihak lawan. In Kyung ini merupakan cucu saudara kesayangan nenek saudaranya sebab itulah dia yang mewarisi bukan sahaja harta peninggalan neneknya tapi juga hutang piutang mendiang neneknya. 

In Joo anak sulung yang berusaha untuk membawa keluarganya keluar daripada lingkaran kemiskinan. Dia malah sanggup berkahwin dengan lelaki kaya semata-mata untuk kesenangan keluarganya tapi malangnya dia telah ditipu dan akhirnya bercerai. Sifat naif In Joo ini menjadikan dia mudah dipergunakan oleh orang lain sepertimana Miss Jin mempergunakannya dia. Tetapi disebalik sikapnya yang adakalanya menjengkekkan terselit semangat yang kuat dalam dirinya. Dia juga tidak mudah menyerah walaupun mengundang bahaya untuk diri sendiri. Nasiblah ada juga Choi Dii Il yang sentiasa ada menyelamatkannya. Dia ni jenis manusia yang terlalu mengikut kata hati. Dia tidak berfikir dulu sebelum bertindak. Dia ikut naluri hatinya sehinggakan membawa kepada bahaya yang tidak diundang.

Drama ini hanya 12 episod sahaja. Tidak taulah pula kalau ada season 2 nanti sebab trend KDrama sekarang ni pandai sudah berseason2. Ada banyak persoalan yang tidak terungkai sebenarnya :-

1. Apa jadi dengan syarikat nenek saudara In Kyung yang punya hutang yang banyak. In Kyung berazam untuk memenuhi wasiat neneknya kerana dia tahu punca kejatuhan syarikat neneknya adalah ekoran daripada tindakan tidak matang In Kyung menyerang Park Jae Sang tanpa bukti-bukti yang jelas. Sampai ke ending tiada cerita walhal waktu nenek dia meninggal punyalah In Kyung tu bersemangat. Ingatkan dia akan  muncul menjadi wanita berjaya he he. Rupa-rupanya dia ikut BF dia pigi AS untuk sambung belajar. Mungkin balik dari sana lah kot.

2. Apa jadi dengan ibu bapa Choi...bapa Choi telah ditangkap polis dan lepas tu tutup terus. Ibunya pula kemalangan bersamanya..Choi saja tapi selepas itu ibunya langsung tidak muncul lagi.

Banyak jugalah persoalan lain yang berlegar2 di minda. Mungkin sebab hanya 12 episod maka pengakhirannya agak tergesa-gesa bagi sayalah. 

Apa-apapun drama ini menarik untuk ditonton. Macam-macam hal yang berlaku. Trauma, sakit jiwa semua ada dalam cerita ini.


Sunday, 11 December 2022

KDRAMA THE KING AFFECTION


Saya memang peminat genre KDrama yang berbentuk history. Saya suka pada gambaran kehidupan masyarakat Korea pada zaman Joseon. Drama ini sudah lama masuk dalam My List cuma belum tergerak hati untuk menontonnya kerana apabila saya membaca review orang lain nampaknya cerita ini agak berat juga jalinan plotnya. Gandingan Park Eun Bin dan Rowoon dalam drama ni memang mantaplah bagi saya.

Kisah drama ini tentang golongan raja yang tidak dapat menerima kelahiran kembar dalam keluarga diraja. Mereka beranggapan seorang raja mestilah suci dan tidak boleh berkongsi uri apatah lagi dengan perempuan. Jadi puteri yang dilahirkan kembar dengan putera mahkota telah diperintahkan untuk dihukum bunuh. Namun permaisuri yang tidak sampai hati untuk membunuh puterinya telah menitahkan Panglima Yoon untuk menyembunyikan puterinya.

Namun takdir menjadikan puteri itu kembali ke istana dan bekerja sebagai dayang kecil di istana. Di sinilah, dia telah bertemu dengan abangnya yang merupakan putera mahkota pada waktu itu. Dia telah didesak oleh abangnya untuk bertukar tempat kerana mereka kembar seiras. Abangnya ingin melihat gurunya untuk kali terakhir sebelum gurunya itu dihukum bunuh atas fitnah pembesar lain. Kejadian malang menimpa apabila Ketua Pembesar mengarahkan supaya gadis yang menyerupai putera mahkota dibunuh.

Kesilapan pembunuhan ini membawa kepada permulaan konflik dalam drama ini. Ia memperlihatkan bagaimana strugglenya puteri tersebut untuk memainkan peranannya sebagai putera mahkota menggantikan abangnya yang telah mati dibunuh akibat. Korang kena tengok part ni sebab inilah konflik utama dalam drama ini. Banyak kisah yang berlaku yang boleh mendebarkan anda terutamanya apabila identiti puteri hampir diketahui oleh musuhnya.

Unsur romance tetaplah ada iaitu antara puteri (putera mahkota) dengan Jung Ji Woon. Pada mulanya Ji Woon berasa sangat pelik dengan tastenya kerana dia tiba-tiba menyukai kaum sejenis iaitu putera mahkota ha ha ha. Ini benar-benar mengugat maruah dan kekuatan dirinya untuk melawan perasaannya terhadap kaum sejenis. Pelbagai cabaran mereka lalui untuk bersama. Dah hampir bersama muncul lagi konflik baharu...biasalah untuk memanjangkan cerita he he. Ji Woon dah tahu yang Putera Mahkota itu adalah budak perempuan yang menjadi cinta pertamanya yang disangkanya sudah mati dibunuh dalam istana. Ketika mereka menyulam cinta muncul pula episod pemberontakan yang memaksa puteri untuk kembali ke istana.

Cinta Tiga Segi?????Mestilah ada. Ada sepupu puteri yang secara diam-diam mengetahui akan identiti sebenarnya sejak dari kecil menyimpan perasaan kepadanya. Dia juga merupakan kawan rapat kepada Ji Woon namun konflik cinta tiga segi ini tidaklah terlalu diketengahkan. Kehadiran Lee Hyun ini lebih kepada penyelamat dan pelindung kepada puteri. Ada juga kehadiran perempuan yang suka sangat dengan Ji Woon.

Endingnya...happy ending selepas semua konflik selesai namun memang banyaklah yang terkorban dalam proses nak menghampiri klimaks dan ending cerita. Ada beberapa perkara yang mengujakan anda apabila menonton drama ini :-

1. Ayah Ji Woon merupakan pembunuh suruhan Ketua Pembesar. Memang banyak konflik di sini. Ayah Ji Woon jugalah yang telah membunuh putera mahkota. Apakah pengakhiran kepada ayah Ji Woon. Adakah dia terus ingin menyakiti anaknya yang trauma ketika melihat dia melakukan pembunuhan depan mata Ji Woon sendiri ketika dia masih kecil. Pilihan ayah Ji Woon korang kena tengok.

2. Apa yang berlaku kepada puteri. Selepas dia ditabalkan menjadi raja dia dipaksa untuk berkahwin. Bayangkanlah bagaiman seksa hidupnya apabila tiba hari bersama dengan permaisuri. 

3. Siapa yang menjadi raja. Adakah puteri terus dengan idenitinya atau ada orang lain....jeng jeng...


CURHAT KDRAMA DOCTOR ROMANTIC - SEASON 1

 Saya terinspirasi untuk menonton drama ini setelah salah seorang kazen saya menyarankan untuk menonton drama ini. Pada awalnya saya tidaklah teruja sangat sebab apabila saya melihat barisan pelakonnya jujur saya katakan semuanya bukanlah dalam list my fav actor. Namun saya cuba baca beberapa review daripada rakan-rakan blogger yang sudi berkongsi tentang drama ini dan saya rasa tertarik untuk cuba menontonnya.

Berdasarkan tajuk Doctor Romantic, saya sebenarnya dapat membayangkan drama yang berkisar tentang kisah percintaan dalam dunia perubatan. Disebabkan judul romantic maka saya membayangkan pasti lebih banyak unsur percintaan berbanding dengan hal-hal berkaitan medic dalam drama ni...jika anda beranggapan seperti saya...anda melakukan kesilapan sama seperti saya he he.

Pada saya tarikan drama ini pada kekuatan karakter watak utamanya iaitu Teacher Kim. Saya benar-benar tertarik dan kagum dengan karisma yang dimiliki oleh beliau sehinggakan saya cuba mendalami perwatakan beliau yang boleh diaplikasikan dalam kerjaya saya. Ok kita mulakan review..

Kisah ini bermula di Geosan Medical Centre iaitu sebuah pusat perubatan yang popular di Seoul pada ketika itu. Pusat perubatan ini mempunyai seorang surgeon yang diberi gelaran Hand Of God disebabkan kemampuannya menyelamatkan ramai nyawa pesakit melalui pembedahan yang dijalankannya. Pihak atasan hospital yang tamak dan diiringi dengan hasad dengki terhadap surgeon tersebut telah mempergunakan nama surgeon itu untuk membuat "ghost operation" iaitu pembedahan yang dijalankan atas nama beliau namun dilakukan oleh orang lain tanpa pengetahuan beliau. Hal ini berterusan sehinggalah satu ketika berlaku komplot yang membawa kepada penyingkiran surgeon ini daripada pusat perubatan tersebut. Beliau telah dipersalahkan atas kematian seorang gadis yang juga merupakan pelatih perubatan yang selalu menimba ilmu pembedahan daripadanya walaupun pada dasarnya bukan dia yang melakukan pembedahan tersebut.Disebabkan rasa kecewa, marah dan sedih atas kematian gadis itu, surgeon ini telah membawa diri dan senyap beberapa ketika dalam dunia perubatan dan ini sudah pastinya menggembirakan musuh-musuhnya.

Muncul kisah Kang Dong Joo. Bermula dengan kisahnya sebagai seorang anak yang tidak berpuashati dengan kematian bapanya di Geosan Medical Centre disebabkan oleh birokrasi yang berlaku dalam hospital tersebut. Hal ini menimbulkan kemarahan kepadanya dan atas rasa ketidakpuasan hatinya menyebabkan Kang Dong Joo telah mengamuk di hospital tersebut. Namun dengan kudratnya apalah daya yang dia ada. Akhirnya dalam keadaan lemah selepas ditangkap, dia telah dirawat oleh seorang doktor lelaki yang akhirnya menasihatkan dirinya supaya jika dia hendak membalas dendam dia mestilah melakukannya dalam keadaan yang lebih bermaruah bukannya dalam keadaan yang lemah seperti apa yang dilakukannya sekarang. Kata-kata ini telah membuka minda sedar Kang Dong Joo, namun disebabkan anathesia yang dialaminya maka dia tidak dapat mengingati wajah doktor tersebut cuma dia hanya sempat mengingati nama Boo Young Joo yang tertera pada tanda nama doktor tersebut. Berbekalkan semangat itu, dia akhirnya berusaha bersungguh-sungguh dan akhirnya berjaya bertugas di Geosan Medical Centre. Di sini, Dr Kang telah menunjukkan ketrampilan dan kredibiliti yang tinggi dalam menjalankan tugas sehinggalah dia tersilap langkah dalam membuat perhitungan yang membawa kepada kematian pesakit menyebabkan dia akhirnya dibuang daripada pusat perubatan tersebut.

Di Geosan Medical Centra, Kang Dong Joo bertemu dengan Yoon Seo Jung yang merupakan doktor senior di situ. Disebabkan keberanian, ketangkasan dan keupayaan yang dimilikinya dalam menangani masalah-masalah di ER maka Dr Yoon juga dikenali sebagai Crazy Whale. Sikap unik Dr Yoon ini telah menyebabkan Dr Kang mula jatuh cinta kepadanya namun malangnya Dr Yoon pada waktu itu sudah mempunyai teman lelaki yang juga merupakan doktor di hospital tersebut. Dr Yoon agak tergoncang juga hatinya saat Dr Kang meluahkan perasaan kepadanya dan dia tidak jangka juga dalam masa yang sama teman lelakinya turut melamarnya. Dalam keadaan yang mabuk, teman lelakinya agak terkejut apabila mendengar pernyataan Dr Yoon dan telah membawa kepada berlakunya kecelakaan yang meragut nyawa teman lelakinya itu. Kesan daripada kemalangan tersebut telah menyebabkan Dr Yoon cedera di tangan dan lebih teruk dia telah mengalami depresi kerana rasa bersalah yang mendalam. Dia merasakan dia yang telah menyebabkan kematian teman lelakinya. Dia akhirnya terdampar di kaki bukit ketika melayan perasaannya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Nasib Dr Yoon agak bertuah sebab dia telah diselamatkan oleh seorang lelaki yang bernama Teacher Kim. Dia akhirnya dibawa dan dirawat di sebuah hospital pinggir bandar iaitu Doldam Hospital. Dia akhirnya sembuh daripada kecederaan zahir namun depresi yang dialami oleh Dr Yoon semakin teruk sehingga dia terpaksa makan ubat tidur untuk mengawal halusinasinya. Sampai satu ketika dia hilang kawalan dan mengelar tangannya sendiri namun berjaya diselamatkan oleh Teacher Kim. Dia akhirnya dikenakan tindakan tegas daripada Teacher Kim untuk tidak merawat pesakit selagi dia masih tidak dapat mengawal dirinya. Dia hanya dibenarkan menjadi pembantu sahaja.

Dr Kang yang telah dikenakan tindakan tatatertib telah dihantar bertugas ke Doldam Hospital manakala Dr Do In Beom yang merupakan anak kepada Chairman Do yang menjadi musuh kepada Dr Boo Young Joo turut dihantar ke Doldam sebagai spy kepada ayahnya. Di sinilah ketiga-tiga doktor muda ini bertemu dan melalui pelbagai cabaran dalam mengenali keperibadian Teacher Kim yang sebenar. Memang banyak konflik yang berlaku antara mereka khususnya dalam bidang perubatan. Tidak ada isu perebutan cinta di sini walaupun nampak ada gangguan tertentu tetapi  pengarah drama ini masih ingin kekalkan istilah romantik itu bukan pada indahnya percintaan seperti drama yang lain.

Kemuncak konflik ialah isu perebutan menjalankan pembedahan terhadap Chairman Shin iaitu Presiden kepada Geosan Medical Centre. Lebih merumitkan Doldam Hospital merupakan hospital di bawah Geosan maka senanglah Director Do mengarahkan kuncu-kuncunya yang diketuai oleh Dr Song untuk mengenakan Teacher Kim. Namun seperti yang saya katakan awal-awal review, Teacher Kim ini bukanlah calang-calang orangnya. Dia cool. tenang namun apabila beliau mengeluarkan kata-kata fuuuh memang menyengat...boleh putus nyawa orang yang mendengarnya he he sebab itulah Director Do sukar untuk mengawal dan mengalahkannya walaupun Director Do menggunakan taktik kotor membongkar identiti Teacher Kim adalah Dr Boo Young Joo tetapi sedikitpun tidak mengoyahkan keperibadian Teacher Kim.

Kekuatan Teacher Kim juga sebenarnya banyak dibantu oleh Chairman Shin dalam melawan Director Do. Sehebat manapun Director Do menghalang pembedahan Chairman Shin namun Chairman Shin tetap dengan keputusannya untuk memilih Teacher Kim dan Doldam Hospital sebagai tempat pembedahannya. Ini benar-benar menimbulkan kemarahan Director Do. Banyak kisah dan konflik menarik dalam drama ni ya..yang pastinya akan membuatkan penonton rasa teruja :-

  1. Dr Kang Dong Joo dengan keperibadian yang keras kepala dan mempertahankan pendiriannya bahawa untuk berjaya mesti diiringi dengan kekuasaan dan pengaruh sangat berbeza dengan Teacher Kim yang berpendirian bahawa pesakit merupakan kerutamaan mereka tanpa mengira pangkat dan harta.
  2. Dr Kang akhirnya tahu yang Teacher Kim adalah Dr Boo Young Joo yang pernah menyelamatkannya satu ketika dahulul tetapi disebabkan sikap keras kepala dan pendiriannya darah mudanya itu dia mengenepikan rasa terhutang budinya kepada Teacher Kim. Namun yang bestnya setiap kali dia cuba untuk mempersalahklan Teacher Kim setiap kali itu jugalah dia akan melalui apa yang pernah Teacher Kim lalui. Maka dengan sendirinya Dr Kang menjadi rasional. Lagipun Teacher Kim bukan jenis yang banyak bercakap tetapi dia lebih mahu Dr Kang menilai sendiri situasi yang pernah dilaluinya. Part ini pada saya best sebab sakit hati juga tengok gaya Dr Kang tu tapi acapkali berlaku keadaan tu dia juga akan melaluinya maka saya pun rasa puas hati he he
  3. Dr Yoon juga berhadapan dengan konflik sendiri. Kalau Dr Kang dia mahu menunjukkan kemampuannya, Dr Yoon pula mahu kehadirannya dirasai oleh Director Do kerana dia sebenarnya telah dibiayai oleh Director Do selepas kematian ibunya. Apabila anda menonton drama ini barulah anda akan nampak betapa strugglenya Dr Yoon dalam menangani permasalahan dalam hidup dan kerjayanya. Dia sabar dalam usaha meraih idolanya Teacher Kim agar menerimanya sebagai anak muridnya.
  4. Dr Do pun ada masalah juga. Dia ni bukanlah watak yang jahat sebab dia hanya dikawal dan dipergunakan oleh ayah dia cuma bestnya Dr Do ni dia akhirnya mengambil keputusan untuk memihak kepada Teacher Kim dan meninggalkan kekejaman ayahnya. 
Banyak watak sampingan lain yang akan menghiburkan anda, nurse Oh, Mr Jang, Presiden Yeo, Nurse Park, Mr Gu dan banyak lagi.

Secara keseluruhannya saya bagi 8/10...ooh ya endingnya mungkin sebab adanya Season 2 maka biasalah ending korea punya style memang akan tergantung sebab tu nak puas hati kena tengok juga season 2. Reviewnya selepas ini.

REVIEW KDRAMA : OH MY GHOST CLIENTS

Kdrama ini memang saya dah lama tunggu untuk menontonnya. Tapi disebabkan kekangan masa maka barulah saya dapat meluangkan masa untuk drama ...