Saturday, 20 September 2025

RESAH BERGANDA DEBARAN TERSERLAH

  13 Sept 2024 – Jumaat

Hari yang mendebarkan. Selalunya pada waktu-waktu seperti ini, dia akan menjadi pusat kegelisahanku. Dialah yang akan menjadi tempat ku meluahkan rasa gelisah dan ketakutan tentang apa-apa sahaja yang ditunggu-tunggu. Kalau istilah orang Labuan, “iya tah tampatku mengusut”.

Dalam keadaan seperti ini, saya sudah boleh menjangkakan reaksinya seandainya dia masih ada. Dia seorang yang sangat cool. Tenang dan sentiasa santai di posisinya. Apabila berlaku situasi seperti ini, biasanya dia bukan jenis yang berlebihan dalam mengeluarkan kenyataan atau reaksi. Standard reaksinya yang pasti dia berikan ialah bertenang dan jangan memaksa dalam sesebuah keadaan. Ayat yang selalu dia gunakan

 “…kita tidak boleh memaksa sesuatu keadaan mengikut kehendak kita. Yang penting berdoa dan selebihnya yakinlah kepada Allah. Kamu susah-susah hatipun tiada yang boleh dibuat”.

 “…aikkk masalah masalah…bagus-bagus tiada masalah sendiri cari masalah. Jangan difikir masalah yang tidak boleh kita selesaikan. Tenang saja. Solat dan doa saja. Allah tahu mana yang terbaik.:

Inilah kata-kata standard yang saya dengar setiap kali saya mengadu tentang apa-apa saja kerisauan dan kegelisahannya. Adakalanya sikap cool dan tenang dia ni menjengkelkan saya sebab naluri perempuan saya mau dia akan concern dengan apa yang saya bagitau. Means, dia akan beri reaksi yang ‘berlebihan’ tapi ya memang begitulah gayanya dan sikapnya. Dari sini saya bersyukur dikurniakan seorang suami yang penyabar dan penyayang sebenarnya.

Hari ini keputusan egTukar bakal keluar. Katanya dalam jam 6 petang baru keputusan rasmi akan keluar. Pada dasarnya saya sangat berharap untuk mendapat berita gembira berjayanya pertukaran saya ke Kota Kinabalu. Di mana tempatnya, saya berserah kepada Allah kerana Dia lebih mengetahui tempat terbaik untuk saya. Adakalanya terbit dalam benak fikiran, adakah tindakan saya ini betul atau adakah saya cuma ingin melarikan diri daripada masalah yang ada.

Namun setelah difikirkan berkali-kali, saya yakinkan diri saya bahawa inilah keputusan terbaik untuk kami sekeluarga pada situasi ini. Allah meminta saya untuk menjalani the new chapter in my life jadi ia memerlukan penghijrahan agar segala rasa yang saya alami dan lalui sekarang ini dapat dirungkaikan dengan satu kekuatan agar dapat memulainya dengan lebih bersemangat dengan adanya persekitaran dan suasana baharu. Bukan mudah untuk memulainya. Bukan mudah juga untuk meninggalkan zon selesa yang sudah sebati dengan diri dan anak-anak namun kami tidak ada pilihan.

 

No comments:

Post a Comment

SELAMAT DATANG KE BLOG BICARA KEHIDUPAN

 Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua yang singgah ke ruang kecil ini. Di sinilah saya,  mencoret rasa, bicara dan renungan tent...