Saturday, 20 September 2025

PILIHAN TERBAIK : LEWATI & TEMPUHI

  15 Sept 2024 – Ahad

 Alhamdulillah keputusan egTukar telahpun diketahui. Permohonan pertukaran saya kembali bertugas ke negeri asal telah berjaya dengan izin Allah. Ketika saya mengambil keputusan untuk  berpindah, perkara utama yang saya lakukan adalah solat isthikarah iaitu meminta bantuan dan petunjuk daripada Allah agar setiap tindakan ini adalah atas redaNya. Saya menerima kunjungan daripada beberapa orang penting pendidikan di negeri tempat saya berkhidmat sekarang dan juga di negeri tempat saya ingin berpindah. Daripada situ, saya mendapat banyak sokongan dan panduan cara untuk mendapatkan pertukaran ini.

 Namun demikian, ia tidaklah berlaku dengan mudah. Allah tetap bagi ujian-ujian ketika dalam proses pengurusan perpindahan ini yang memerlukan tumpahan air mataku kepadaNya. Saya memandang ini dari sudut Allah ingin saya betul-betul berharap hanya kepadaNya. Di saat saya menangis sampai meraung apabila masalah-masalah timbul dalam sepanjang pengurusan perpindahan ini, sesungguhnya Allah selitkan kemudahanNya yang tidak terhingga.

 Dalam melalui pengurusan proses perpindahan ini, ada yang Allah rencanakan sesuatu untuk saya pada masa hadapan. Ini disebabkan ada permintaan saya kepada Allah yang tidak seperti apa yang saya harapkan namun apabila saya mula bertenang dan bermuhasabah diri, Allah hadirkan kejernihan minda untuk menerimanya. Berbekalkan keyakinan Allah sedang mengatur yang lebih baik untuk saya pada masa akan datang. Berkali-kali saya ingatkan diri bahawa kita merancang, Allah juga merancang dan pastinya rencana Allah adalah yang terbaik.

Dilema sekolah mana saya ditempatkan, saya juga serahkan sepenuhnya kepada Allah. Saya tidak tahu tempat yang terbaik. Saya hanya berharap dapat tempat yang logiknya lebih dekat dengan rumah saya tetapi rencana Allah menempatkan saya di sekolah yang lebih jauh namun pastinya ini adalah yang terbaik untuk saya. InsyaAllah.

Saya juga agak berdebar untuk berhijrah. Penghijrahan ini bererti saya kena bermula daripada awal. Namun, dalam situasi sekarang saya memerlukan persekitaran baharu untuk memasuki fasa baharu dalam hidup saya. Ya Allah, Engkau meminta saya menjalaninya dan saya akan menjalaniNya. Bantu saya ya Allah. Tolong saya ya Rabb. Kali ini, saya umpama mula membina kehidupan yang betul-betul saya sandarkan hanya padaMu.

Tempat kerja baharu sesuatu yang saya harapkan dalam keadaan yang baik-baik sahaja ya Allah. Kurniakanlah kepada hambaMu ini suasana kerja dan majikan yang membolehkan hambaMu dapat terus beribadah kepadaMu. Jika dibayangkan, jika difikirkan apa yang ada di hadapan, saya memang tidak berdaya ya Allah. Apa yang saya mampu lakukan sekarang hanyalah berserah dan bersandar hanya padaMu.

 

No comments:

Post a Comment

SELAMAT DATANG KE BLOG BICARA KEHIDUPAN

 Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua yang singgah ke ruang kecil ini. Di sinilah saya,  mencoret rasa, bicara dan renungan tent...