Saturday, 20 September 2025

SELAMAT DATANG KE BLOG BICARA KEHIDUPAN

 Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua yang singgah ke ruang kecil ini. Di sinilah saya,  mencoret rasa, bicara dan renungan tentang 'dunia' yang saya cintai—drama, sastera, budaya, dan kehidupan.

Blog ini lahir daripada keinginan untuk mengabadikan cerita-cerita yang menyentuh jiwa, menyapa minda dan membuai rasa untuk dijadikan renungan bersama. Kisah-kisaha ini sama ada dari layar kaca seperti Kdrama, Cdrama, Lakorn, atau dari lembaran novel-novel Melayu yang sarat dengan nilai kehidupan mengikut perspektif diri. Setiap ulasan saya cuba kaitkan dengan emosi, budaya dan makna yang lebih mendalam.

Saya percaya bahawa setiap cerita membawa cerminan jiwa manusia. Maka, dalam setiap posting, saya bukan sekadar menilai plot atau watak, tetapi juga menyelami dilema, nilai dan keindahan naratif yang tersirat. Kadangkala saya berkongsi melalui komik, dialog interaktif, atau refleksi peribadi—semuanya dengan harapan agar pembaca turut merasa dan berfikir bersama.

Di blog ini, kamu akan temui lima kategori utama:

  • Dunia Drama – ulasan dan refleksi drama dari pelbagai negara khususnya Kdrama, Cdrama dan Lakorn

  • Bicara Novel – kupasan karya novel-novel Melayu yang saya gemari

  • Luahan Rasa – tempat untuk saya berkongsi luahan rasa tidak kira dalam bentuk catatan naratif mahupun puisi yang saya cipta sendiri berdasarkan emosi rasa

  • Travelog Kehidupan – Perkongsian rencaman kehidupan seharian 

  • Koleksi Bekal - hamparan koleksi bekal yang saya bawa ke tempat kerja mahupun masakan rumahan

Terima kasih kerana sudi singgah dan membaca. Jangan segan untuk tinggalkan komen, berkongsi pandangan. Mari kita berbicara, berfikir, dan merasa bersama—kerana setiap cerita itu punya jiwa, dan setiap jiwa itu layak didengar 💬✨


CATATAN DUKA LUAHAN RASA

 12 Sept 2024 – Khamis

Orang kata nak meringgankan beban minda kita, salah satu cara efektifnya adalah dengan menulis apa yang ada dalam fikiran kita. Apa yang kita rasa, apa yang kita fikirkan, apa yang memberatkan fikiran kita dan apa yang menyesakkan dada kita. Sesuatu yang berat di fikiran dan menyesakkan jiwa namun kita tidak dapat luahkan kepada sesiapapun. Ya…pastinya tempat terbaik untuk kita meluah ada padaNya Allah Zat Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Masuk bulan ketiga pemergian insan yang bergelar suami. Dalam doa saban hari tidak pernah tertinggal memohon moga Allah mengurniakan dan menghadirkan reda dan Ikhlas dalam hati ini kerana sesungguhnya hanya Dia yang mampu mengikhlaskan dan memelihara hati ini daripada keluh kesah dan kesedihan berlarutan. Saya memohon moga Allah hadirkan kelapangan dalam hati ini dan anak-anak agar dapat berlapang dada tanpa ada sedikitpun rasa dengki atas lengkapnya keluarga orang lain. Saya memohon semoga Allah menghadirkan dan mengurniakan kebahagiaan sendiri untuk diriku dan anak-anak yatimku.

Mungkin disebabkan faktor PMS dan emosi ketika uzur menyumbang kepada rasa sedih mendalam yang kualami saat ini. Rasa rindu dengannya. Bayangan kenangan dengannya yang tidak akan berulang lagi. Sungguh hebat ujianMu padaku ya Allah. Namun tidak bermakna hambaMu tidak reda dan tidak menerimanya. Engkau Allahku yang Maha Mengetahui. Tidak ada yang dapat kusembunyikan daripadaMu. Engkau tahu sejauhmana hati ini bereaksi dengan apa yang telah Engkau takdirkan untukku.

Tetapi sebagai manusia biasa, hambaMu yang hina, lemah dan tidak berdaya ini ya Allah, tidak luput daripada rasa rindu, rasa sakit yang tidak terperi. Saya ingatkan saya sudah boleh melewatinya rupanya ya Rabb hambaMu masih belum dapat melaluinya. Tangisan demi tangisan setiap hari menjadi peneman setia. Jika airmata ini boleh dijual pasti sudah banyak keuntungan yang boleh diraih kerana terlalu banyak menangis. Tangisan kerinduan, tangisan kesedihan, tangisan kerisauan, tangisan ketakutan bercampur baur yang membawa kepada tercetusnya satu rasa yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata apa sebenarnya yang saya rasai tika dan saat ini.

Rindu…ya memang rindu. Sakit rindu yang tak berpenghujung bukan sesuatu yang mudah untuk kita atasi. Orang yang tidak mengalaminya hanya akan mampu berkata bersabar tetapi pada dasarnya tanyalah mereka yang pernah melaluinya, ia bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Dari semalam, hati ini begitu kuat untuk merindunya. Rindu pada segala-gala tentangnya. Apatah lagi di saat rasa tidak enak  badan memang ingatan kuat padanya. Dia bukanlah lelaki romantis tetapi dia punya sifat romantisnya yang tersendiri. Dia tidak menunjukkan caring dengan perbuatan seperti mengurut-ngurut atau menemani masuk berjumpa doctor tetapi romantisnya suamiku apabila dia menguatkan saya ketika berada dalam situasi ini. Sungguh saya tidak menyangka romantisnya ini merupakan cara Allah untuk untuk mendidik dan mengajar saya bagaimana untuk berhadapan dengan situasi di saat dia tidak lagi bersama saya.

Jujur…dulu adakalanya saya menjadi cengeng semata-mata meminta perhatian daripadanya ketika rasa tidak sihat. Nak juga dimanja-manja dan dibelai-belai macam dalam drama tetapi dia bukan jenis yang begitu apatah lagi di hadapan anak-anak. Cuma satu perkara yang sangat saya rindukan ialah setiap malam dia pasti akan memastikan saya berada dalam dakapan dadanya sebelum tidur hu hu. Aroma badannya yang menghangatkan tidur malam ku . Kenangan yang pastinya tidak akan berulang kembali. Hanya mampu dikenang dan disimpan rapat dalam hati dan mindaku sehingga ke helahan nafasku yang terakhir.

Rasa rindu ini, pergi dan hadir dalam hati ini. Saya meminta pada Allah agar pada saat rindu ini menyapa dan mencengkam di jiwa, berikan saya kekuatan untuk tersenyum mengenangnya. Berikan saya kekuatan untuk tidak lagi meraung dan menangis berlebihan tetapi di saat rindu padanya menyapa, saya tersenyum kerana sesungguhnya saya menjadi saksi kepada amal kebaikan dan amal ibadahnya.

Di saat orang lain ada tempat mengadu, ada tempat untuk meminta pertolongan, Allah tarik nikmat ini daripada saya. Dulu seandainya saya penat, saya gembira, saya sedih, dia orang yang akan saya paksa dan terpaksa  menjadi pendengar kepada segala luahan rasa saya. Saya selalu berpesan dengan dia, seandainya saya bercakap sila berikan perhatian dan jangan tengok hp. Dia sebenarnya malas melayan karenah bininya. Dia sudah faham dengan perangai bininya yang tidak berhenti-henti bercakap jadi signal untuk berhenti bercakap itu ialah dia akan meneliti hp.

Dulu jika ada barang tertinggal di rumah, saya masih ada back up. Sekarang nikmat ini juga Allah telah ambil. Tiada lagi yang membebel sebab menjadi tukang hantar barang yang tertinggal. Saya melatih diri untuk lebih peka sebelum meninggalkan rumah kerana jika tertinggal maka tiadalah daya lagi.

Dulu saya ada tempat untuk mewasap tidak kira masa. Siang malam, pagi petang, sibuk atau tidak sibuk, saya akan tetap mengirimkan wasap padanya. Kadang-kadang menjadi bahan perkelahian manja kami sebab tidak ada sahutan di saat saya memerlukan responnya dengan segera dan kini tiada lagi semua itu.

Pekara-perkara inilah yang menyebabkan rindu ini sangat menyakitkan. Saya rindu untuk melakukan kesemua di atas. Tetapi hanya padanya. Hanya pada dirinya. Tidak ada orang lain yang akan mampu menggantikannya.

Kadang-kadang apa yang saya dan mereka yang senasib dengan saya rasa, bukannya tidak menerima takdir. Ya Allah, apa lagi yang mampu kami buat. Kami tidak mampu untuk menolak takdir ini. Takdir yang melibatkan ajal dan berakhirnya hidup seseorang merupakan ketentuan Allah yang tidak akan berubah. Apa yang mampu kami lakukan hanyalah berusaha untuk menerima, reda dan Ikhlas dengan takdir ini. Namun ini bukanlah sesuatu yang mudah. Hanya dengan pertolongan dan izinMu ya Allah maka kami akan dapat menerimanya. Oleh itu, dalam doaku setiap masa, memohon supaya Allah mengurniakan kelembutan dan kelunakan kepada kami untuk melalui takdir yang tidak mampu untuk kami tolak. Saya juga memohon  semoga Allah mengurniakan kepada kami kelembutan dalam ujian dan takdir kami ke depannya.

 

LAKORN : BLONDIE IN AN ANCIENT TIME

 Lama sebennarnya tidak menonton Lakorn. Scroll2 tiktok terjumpalah satu Lakorn ni yang berkisar tentang Travel Time Drama. Saya terus teringat kisah dalam Love Destiny hehe. Ini memang Lakorn paling mananglah he he. Ok, tentang Lakorn bertajuk Blondie in an Ancient Time, jujur saya tidak mengenali ML dan FL dalam drama ini. Pastinya bukan dalam kalangan pelakon handalan Thai ataupun mungkin muka2 baharu sebab saya memang sdh lama tdk menonton Lakorn. Dari segi mutu lakonan pastinya kita masih terbayang-bayangkan kemantapan lakonan Bella, Yaya, Mark, Nadech he he tapi bolehlah sebab saya menonton Lakorn ini kerana tertarik dengan jalan ceritanya jadi pelakon tu letak tepi.

Drama ini tentang seorang influencer (FL) pada zaman kini bernama Phrae yang selalu mengalami kegagalan dalam percintaan. Rata-rata lelaki yang mendampinginya hanya mempergunakan dirinya Dan juga kekayaannya untuk kepentingan mereka. Hal ini menyebabkan Phrea berasa kecewa dalam soal percintaan. Oleh itu, dia telah meminta kepada Dewa Cinta agar mempertemukannya dengan seorang lelaki yang benar-benar mencintai dia seadanya. Dalam perbualan dengan Dewa tersebut, Phrea hanya meminta supaya dikurniakan seorang lelaki yang tulus mencintainya dan telefon bimbit miliknya kerana sebagai influencer dia tdk blh berpisah dengan telefonnya. 

Akhirnya, dia telah dihantar ke zaman pemerintahan King Rama V di mana pada waktu itu, sistem perhambaan giat dijalankan. Hak ketuanan terhadap golongan hamba menjadikan mereka selalu dimanipulasi dan didera oleh tuan-tuan mereka. Pastinya huru hara hidup c Phrea ni apabila tiba-tiba berada di zaman dulu yang cara hidupnya sangat jauh berbeza daripada zamannya. Tambahan pula, Phrea ini telah mewarnakan rambutnya keperangan yang menjadikan dia makhluk aneh ha ha pada zaman itu. Wujud pula kepercayaan pada waktu itu bahawa antara tanda-tanda pembawa malang adalah wanita berambut perang. Maka bertambah-tambahlah kesulitan c Phrea ini disebabkan ancaman daripada persekitarannya.

Kla(ML) merupakan seorang hamba yang melayani tuan mudanya bernama Ek. Dia seorang yang sangat taat dan setia kepada Khun Ek. Baginya Khun Ek adalah orang yang perlu dilayani sampai ke akhir hayat Dan menjadi keutamaan dalam hidupnya. Mereka ini membesar bersama cuma datang dari taraf hidup yang berbeza. Mereka juga mempunyai seorang teman permainan sejak dari kecil iaitu Khun Thunthip. Apabila mereka meningkat dewasa, kedua-dua lelaki ini menyimpan perasaan terhadap Khun Thunthip. Pastinya yang mempunyai peluang yang tinggi adalah Khun EK kan sebab sama-sama daripada golongan bangsawan. Cuma Khun Thip ini dia tidak suka dengan istilah perjodohan. Dia mahu berkahwin dengan lelaki yang dia sukai. Dia hanya tinggal dengan ayahnya yang memang berharap Khun Thip akan berkahwin dengan orang seperti Khun Ek yang dikira setaraf dengan mereka.

Yang menjadikan cerita ini menarik bagi saya adalah kesungguhan golongan hamba untuk membebaskan mereka daripada penderitaan akibat penindasan tuan mereka. Pastinya yang mencetuskan aura penentangan atau kebangkitan pembebasan ini adalah Phrea ha ha. Oh ya...sewaktu berada di era ini, Phrea juga terpaksa hidup sebagai hamba kepada keluarga Kam + Feung bersama-sama dengan Kla. Dia juga berhadapan dengan gangguan seksual daripada Khun Kam yang mahu mencabulinya tetapi dengan pertologan Kla Dan juga idea-idea daripada google maka dia berjaya melepaskan diri daripada gangguan Khun Kam. Phrea ini, kembali ke era tersebut melalui aplikasi dalam telefon bimbit yang diberikan oleh Dewa dalam bentuk jelmaan lelaki kepadanya sebelum dia dihantar ke era tersebut. Jadi telefon tersebutlah menjadi penyelamatnya kerana dari sanalah dia mendapatkan info-info tentang apa yang berlaku pada era tersebut.

Dalam usaha pembebasan tersebut, Phrea inikan memang otak business sejak dari zamannya lagi he he oleh itu dia telah membawa segala idea-idea pada zamannya ke era tersebut. Ahaa...di sini memang ada banyak scene lucu Phrea dalam melaksanakan bisnes. Dia jual mangga, memperkenalkan tea boba, sarung tangan dan macam-macam lagilah c Phrea ni jual. Dia berjaya membantu membebaskan Mieng hamba yang sepatutnya boleh bebas selepas mencapai 21 tahun tetapi dimanipulasi oleh Khun Kam kerana dia masih mahu menggunakan keupayaan Mieng ini. Panjanglah kisahnya, anda kena tonton sendiri bagaimana usaha Mieng untuk membebaskan dirinya.

Dipendekkan cerita, Phrea ini akhirnya dibebaskan dengan bantuan jurutera Inggeris bernama Paul. Dia lah yang telah membeli kebebasan Phrea. Selepas dibebaskan Phrea terus berusaha untuk membebaskan lagi Kla, Wean(ibu Kla) dan beberapa org rakan mereka daripada kekejaman Khun Kam + Khun Feung. Okey..lupa mau bagitau, Dewa telah menetapkan syarat untuknya, jika dia mahu kembali ke zamannya, dia kena membantu Kla untuk mendapatkan cinta sejatinya. Jadi, Phrea ni memang berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu Kla berkahwin dengan Khun Thip setelah dia mengetahui yang Kla menyukai Khun Thip. Dalam dia berusaha untuk kenen2kan kedua-duanya tanpa disedari kebersamaannya dengan Kla menyebabkan dia juga mula menyedari dia mula jatuh cinta dengan Kla. Tetapi disebabkan dia mahu balik ke zamannya maka Phrea berusaha untuk mengenepikan perasaannya dan fokus membantu Kla bersama Khun Thip.

Setelah bermacam tahap penderitaan yang dialami oleh Kla, dia akhirnya berjaya dibebaskan oleh Phrea dengan bantuan Paul. Setelah dia dibebaskan, dia pun bersaing dengan Khun Ek untuk dapatkan Khun Thip. Peluang tinggi untuk Kla kerana Khun Thip lebih menyukainya. Oleh itu, ayah Khun Thip telah membuat satu cabaran untuk Khun Ek Dan Kla beradu mengumpul harta dalam tempoh 3 tahun dan pemenangnya akan berkahwin dengan Khun Thip. Di sini macam2 usaha mereka untuk menjadikan Kla layak berkahwin dengan Khun Thip dan pastinya penerajunya adalah Phrea he he.

Namun dalam sibuk-sibuk nak merealisasikan perkahwinan tersebut, Kla dan Phrea pula terjatuh cinta antara satu sama lain. Tapi korang jangan bimbang sebab tak der nya konflik tarik2 perasaan sebab Khun Thip pun jenis yang memahami dan tidak memaksa. Dipendekkan cerita bila Kla dan Phrea saling meluahkan rasa tup tup Phrea hilang dan kembali ke zamannya. Tinggallah Kla terkontang-kanting di era tersebut dengan berusaha mengembalikan semula Phrea melalui telefon bimbit yang ditinggalkan namun dia tidak mengetahui kata kunci untuk membuka HP tersebut. 

Phrea yang kembali ke zamannya tidaklah sehappy seperti apa yg dia gambarkan sebelum ini. Yalah orang sudah jatuh cintakan he he jadi jiwa dan raga mestilah di era tu. Dia tidak pernah melupakan Kla dan ada satu scene ni dia terjumpa dengan Khun Phat lelaki yang pernah menyukainya di era tersebut. Phrea terus mencari2 info tentang kehidupan di era tersebut melalui google dan dari situ dia mengetahui bahawa Kla telah ditangkap dan akan dihukum bunuh atas tuduhan membunuh Khun Feung ibu Khun Ek walhal dia difitnah oleh Khun Kam sendiri. Akhirnya c Phrea ni pun marah2 kat Dewa Cinta dan berusaha untuk kembali menyelamatkan Kla. Kla berusaha untuk membuka password HP Phrea dan sungguh kunu dia tdk menyangka bahawa password HP itu adalah tarikh lahirnya sendiri. Selepas itu korang blh teka dah kan apa yg berlaku he he...Phrea kembali ke era itu dan menyelamatkan Kla.....happy ending haha

Oh ya tentang watak yg lain semua happy ending. Khun Thip selepas kematian ayahnya telah melanjutkan pelajaran ke England dan kembali semula ke Thai. Akhirnya dia bersama dengan Khun Ek he he.

Cuma part sedih menyusuk jiwa adalah part ibu Kla iaitu Wean diseksa oleh Khun Feung sehinggalah dia akhirnya meninggal Dunia. Sedih giler waktu ni. Dari sinilah Kla mula bangkit dan melenyapkan kesetiaannya kepada Khun Ek yang selama ini disanjungnya walaupun banyak kali diprovok oleh Phrea sebelum ini. Scene Kla dihukum sebat juga sangat sedih ya gaiss. Jadi korang bolehlah tengok drama ni di Netflix. Santai Dan tidak mengusut jiwa dan perasaan anda he he.

#Dalam hidup ini adakalanya kita tdk mampu untuk membuat pilihan namun kt msh diberikan akal dan kewarasan untuk berusaha menentukan pilihan terbaik untuk kt jalani.

Curhat Lakorn = 28 Dec 2024

KDRAMA REVIEW : LIFE

Kalau anda ingin menonton romance drama yang ingin clean bolehlah masukkan drama ini dalam list anda. Drama ini mmg clean secleannya ha ha. Romancenya sipi2 tapi masih terasa keromantisaannya. Barisan pelakonnya kalau tengok review dramanya memang mantap jugalah walaupun yang saya kenal hanyalah Lee Dong Wok he he. Yang lain tu, semua kenal juga means pernah tgk drama-drama diorang sebelum ini tapi saya tidak mengenali nama sebenar mereka. Kalau anda menonton drama ini, akan wujud kekeliruan siapa ML yang sebenarnya. Sepatutnya ada Lee Dong Wok maka dialah kan he he pada pandangan awal saya tapi tumpuan saya pada cerita ini Ahjussi Cho Seung Woo. Nampak gentleman betul ahjussi di sini he he berbanding dengan Lee Dong Wok yang nampak oppa oppa style. Satu lagi kelebihan drama ini adalah watak-watak sampingannya terdiri daripada ahjussi-ahjussi yang terkenal memegang peranan yang jahat dalam Kdrama tapi di sini kesemua mereka baik-baik belaka he he jahat-jahat pun sikit-sikit sahaja. Rasa janggal pula sbb selalu nampak ahjussi-ahjussi ini kejam dan bikin geram dalam drama-drama mereka.

Wokey...drama ini bergenre medic + bisnes + management. Tidak terlalu banyak kes-kes medic seperti drama medic yang lain walaupun drama ini berlatarbelakangkan hospital sebagai fokus utama. Kisah ini berlaku di Hospital Sangkook yang berhadapan dengan krisis pengurusan pentadbiran hospital tersebut. Kekecohan ini bermula apabila hospital tersebut telah dibeli oleh Kumpulan Hwaejong salah satu konglomerat di Korea dan telah menempatkan Koo Seung Hyo sebagai presiden baharu di hospital tersebut. Beliau membawa misi untuk menjadikan hospital tersebut sebagai pusat keuntungan kepada Kumpulan Hwaejong. Ketika Koo Seung Hyo mula bertugas di hospital itu, Pengarah Lee telah meninggal akibat serangan jantung di rumah Tim Pengarah Kim. Hal ini menimbulkan keraguan khususnya kepada Dr Ye Jin Woo yang sememangnya rapat dengan Pengarah Lee walaupun tidak dipamerkan di hospital. Di sinilah pelbagai spekulasi mula muncul. Dengan kehadiran Presiden baru yang membawa pelbagai perubahan telah menambahkan kekejutan dalam kalangan doktor di hospital tersebut.

Presiden Koo cuba untuk merubah sistem dan budaya bekerja doktor di hospital tersebut agar lebih mendatangkan keuntungan. Namun menerima tentangan daripada warga hospital yang menggunakan alasan bahawa hospital bukan tempat untuk mengaut keuntungan semata-mata tetapi sebenarnya yang bos2 dalam hospital tu pun ada juga hanky pankynya he he. Konflik berkisar di sini dan anda boleh menikmatinya. Pelbagai kes salah amalan perubatan terbongkar dan ditambah lagi dengan perebutan jawatan pengarah dan cubaan untuk menyingkirkan presiden menjadikan cerita ini pada saya agak menarik untuk diikuti. Saya suka scene Pengarah Oh yang melawan Pasukan Penyusunan Semula yang cuba menakut-nakutkannya. Fuuh...puas hati betul sebab walaupun seorang wanita tapi Pengarah Oh tidak gentar malah terus memprovok semula pengarah pasukan yang angkuh dan batu api itu.

Warga hospital ini rata-rata memang tidak suka dengan Presiden Koo kerana ketegasannya mentadbir hospital menggunakan pengurusan perniagaan. Mereka sebenarnya mahukan penambahan kakitangan supaya segala kesilapan perubatan yang berlaku disebabkan tekanan kerja berlebihan dapat diatasi. Namun, Presiden Koo ini berhadapan dengan cabaran mengurus permintaan Pengerusi Kumpulan Hwaejong yang tamak, panas baran dan menjengkelkan. Taulah gaya-gaya golongan konglomerat yang menjadikan diri mereka berkuasa sepenuhnya dengan menindas sehabis-habisnya golongan bawahan.

Ok...di mana pula kisah romantisnya. Memang drama ini agak kurang romancenya ya. Kisah romance hanya pada Dr Ye Jin Woo dengan wartawan Choi tapi itupun hanya proses urat mengurat sahaja he he. Begitu juga dengan kisah Presiden Koo dan Dr Lee, baru peringkat awal-awal. Ending drama ni pun mereka hanya berbalas senyuman sahaja and then THE END ha ha.

Kalau nak santai bolehlah tengok drama ini. Oh ya, Dr Ye Jin Woo ni ada adik bernama Dr Ye Seo Woo yang lumpuh akibat kemalangan yang telah mengorbankan ayah mereka. Kisah kekeluargaan ni sedih jugalah tapi ikatan kasih sayang mereka adik beradik dan sokongan ibu mereka sangat kuat jadi tidaklah scene yang menyakitkan hati he he.

# Hari ini juga saya terbaca status "Teruslah hidup sebab sudah terlanjur lahir, mau menyesalpun tiada guna"...he he he


REVIEW KDRAMA : 8 FEB 2025

KDRAMA - LOVE YOUR ENEMY

Jika anda mencari Kdrama  yang santai untuk ditonton maka drama ini boleh dimasukkan dalam senarai drama anda. Jalan cerita drama ini sangat santai. Tidak ada konflik yang memenatkan jiwa dan minda kita untuk memahaminya. Ini bersesuaian dengan genre drama ini sebagai romcom drama. Drama ini dibintangi oleh Ju Ji Hoon sebagai ML dan Jung Yu Mi sebagai FL. Berdasarkan komen-komen netizen dalam tiktok, ramai yang menyatakan ketidaksesuaian Ju Ji Hoon memegang watak untuk romcom drama. Selepas menonton drama ini, saya juga menyokong pandangan tersebut he he. Ia tidaklah kaku, Ji Hoon masih boleh membawa watak sebagai Seok Jiwon dengan baik cm mungkin disebabkan penampilannya  yang macho atau bayangan wataknya dalam action drama menyebabkan ada sedikit kejanggalan apabila menonton beliau sebagai hero romcom drama. Drama pertama beliau yang pernah saya tonton adalah Princess Hour iaitu lakonannya bersama Yoon Hey. Peminat Kdrama pasti tahu akan drama ini. Untuk FL pula, Jung Yu Mi ni macam familiar cuma saya tidak ingat drama apa yang dia pernah mainkan. 

Baik..kita mulakan kisah drama ini. Drama ini mengisahkan tentang permusuhan dua keluarga yang agak berpengaruh jugalah dalam bandar kecil yang mereka diami. Permulaan konflik ini adalah rentetan daripada perebutan seorang wanita antara datuk Yun Jiwon dengan datuk Seok Jiwon. Perebutan tersebut menyebabkan timbul dendam antara dua keluarga. Namun demikian, konflik tersebut sebenarnya hanya melibatkan datuk Yun Jiwon dan bapa Seok Jiwon sahaja. Nama diorg ni pun sama juga he he. Sebab itulah dari kecil mereka sebenarnya rapat. Kemuncak kepada konflik ini apabila ayah Seok Jiwon ingin membuka padang golf untuk membangunkan syarikatnya tetapi dihalang oleh datuk Yun Jiwon kerana mengancam ekosistem khususnya Gunung Dokmak di bandar kecil mereka. 

Dalam kemelut dua keluarga ini, Seok Jiwon dan Yun Jiwon sempat menjalin hubungan cinta monyet ketika berada di sekolah menengah namun apabila berlaku insiden antara ayah dan datuk mereka maka mereka akhirnya terpisah. Perpisahan ini pula dirumitkan dengan salah faham antara mereka berdua. Kedua-duanya berusaha untuk saling menghubungi namun dihalang secara diam-diam oleh Jihye iaitu sahabat karib Yun Jiwon yang juga menyukai Seok Jiwon. Dalam fasa ini, kedua-dua mereka melalui fasa penderitaan yang tersendiri. Yun Jiwon dengan kematian ibu bapanya dan ancaman di tempat kerja manakala Seok Jiwon dengan prasangkanya terhadap Yun Jiwon. Namun pada dasarnya macam biasalah mereka ini sebenarnya sailing merindui.

Setelah 18 tahun, mereka bertemu semula di sekolah lama mereka. Sekolah tersebut dahulunya dipengerusikan oleh datuk Yun Jiwon namun ia telah dibeli dan dirampas oleh ayah Seok Jiwon sebagai langkah untuknya membalas dendam. Seok Jiwon yang sebelum ini membina kariernya di Dubai telah kembali ke kampung halaman dan menggunakan helah nakalnya untuk menjadi pengerusi sekolah itu apabila mengetahui Yun Jiwon bertugas sebagai guru di sekolah tersebut. Pada dasarnya, Seok Jiwon dan ibunya tidak bersetuju dengan dendam ayah Seok Jiwon yang mereka anggap remeh dan kebudak-budakan. Hanya dengan menonton drama ini maka anda akan dapat ketahui bagaiman Seok Jiwon menentang ayahnya. Dia sendiri cuba menghentikan niat ayahnya untuk membuka padang golf tanpa ada perancangan rapi sehingga menjejaskan sekolah itu sendiri. Di sini memang powerlah watak Seok Jiwon sebab dia digambarkan sebagai seorang yang berdikari dan sukses dalam karier menyebabkan ayahnya tidak mampu untuk mengawalnya. Ini berbeza dengan kdrama lain yang memaparkan watak hero yang dikawal dan dimanipulasi oleh orang tua. Tapi Seok Jiwon ini memang melawan ayahnya dan tidak gentar walaupun diusir oleh ayahnya.

Apabila mereka telah bertemu kembali, pastinya huru hara lah jadinya he he. Pertaruhan seperti mana mereka pernah buat ketika di sekolah menengah dahulu juga mereka buat dan pastinya kesan daripada pertaruhan inilah hubungan mereka akhirnya bertaut kembali setelah bukti salah faham antara mereka ditemui. Yun Jiwon menemui segala chat yang pernah dihantar oleh Seok Jiwon kepadanya tapi telah didelete oleh Jihye dalam folder spam telefon lamanya manakala Seok Jiwon pula menemui surat luahan Yun Jiwon kepadanya suatu ketika dahulu. Nah....dari sinilah kisah cinta mereka bertaut kembali dengan satu azam walau apapun yang menghalang mereka akan atasi bersama.

Pastinya ada watak sampingankan...kemunculan Munsu guru pelatih di bawah Yun Jiwon dengan watak Jihye menjadi ancaman. Tapi anda jangan risau, semua watak sampingan ini baik-baik belaka he he. Tersangatlah baik. Apabila mereka tahu yang  mereka tidak punya tempat di hati ML dan FL maka mereka tidak meroyan ha ha. Mereka menerima seikhlasnya malahan berusaha untuk membantu agar ML dan FL akan terus bersama. Jadi tidak ada konflik yang berat.

Konflik berat tapi masih manja-manja ni adalah tentangan terhadap hubungan mereka. Tapi itulah saya kata, manja-manja sahaja sebab yang sepenuh hati menentang hanya ayah Seok Jiwon. Itupun dia tak der lah kejam sangat. Dia dengan datuk Yun Jiwon ni macam Tom n Jerry he he bergaduh tapi saling membantu. Ibu Seok Jiwon pun tersangatlah mertua dambaan syurga ha ha. Dia tidak memilih bulu. Dia hanya pentingkan kebahagiaan anaknya. Begitu juga dengan datuk Yun Jiwon. Diapun tidaklah degil sangat. Gaduh-gaduh manja saja. Lagipun Yun Jiwon bukan jenis perempuan lemah. Dia tegas dan yakin dengan pendirian mereka. Tu yang susah ayah Seok Jiwon menundukkan tu he he.

Pasti ada plot twist yang menyedihkan. Gyeongjun iaitu anak angkat datuk Yun Jiwon yang telah mengkhianati ayah angkatnya malah dia juga membunuh ibu bapa Yun Jiwon dengan mengakibatkan kemalangan. Ini memang part sedih apatah lagi pada waktu ini datuk Jiwon dalam fasa mula nyanyuk iaitu mulai lupa dan hilang ingatan. 

Ending cerita ini ditutup dengan kemas. Happy ending pastinya ya. Cuma biasalah dekat-dekat peleraian tu pasti klimaks berlaku. Dekat-dekat nak kawin di situlah konflik berlaku tapi konflik manja-manja saja. Ending untuk watak-watak sampingan juga semua ok. Memang puas hatilah tengok drama ini. 

# Jika anda inginkan cerita santai, plot ringkas, ada unsur humor Dan masih mampu untuk membangkitkan emosi sedih anda, drama ini sangat recommended.

# Kutonton drama ni sampai jam 2.30 pagi. Perangai marathon ni sdh lama tidak kubuat dan sebaik2nya jangan diamalkan he he


REVIEW KDRAMA = 20 JANUARI 2025


Dendam hanya menambahkan parah di jiwa. Semakin kuat kt mengenggamnya maka semakin kuat juga rasa sakitnya mencengkam kehidupan ktia. Oleh itu, walaupun sukar dan bukan mudah...buanglah dendam yang bersarang di hati kita.

KDRAMA : WHEN THE PHONE RINGS

  Akhirnya berjaya juga saya menonton drama ini. Tahun lepas (2024) drama ini merupakan antara drama yang mencapai rating tertinggi semasa tayangannya. Saya berusaha untuk menahan diri menunggu sehingga drama ini selesai ditayangkan sepenuhnya walaupun spoiler ada di mana2 he he but i love spoiler. Drama ini pada saya agak santai sebab istilah santai untuk saya adalah cerita yang tidak menyesakkan jiwa dan menyerabutkan minda. Jalan cerita yang paling malas untuk saya tonton adalah kisah cinta yang main tarik tali walhal dalam hati punyalah suka. Penat weeii minda dan mata melihat kisah sebegini. Sepatutnya bak kata si Bella "Kalau suka, sukalah, kalau ko tidak suka, saya suka, saya sukalah" ha ha

Ok...berbalik pada cerita ini, pada saya agak menarik sebab tidak sama seperti cerita kahwin kontrak yang lain. Agak berbeza sedikit walaupun agak klise kerana masih berkisar pada konflik perkahwinan kontrak. Pada awalnya, saya menjangkakan Baek Sa-eon ini sangatlah kejam dan bertindak zalim pada isterinya Hong Hee Jo tapi rupanya tidaklah segarang manapun c Sa-eon ni. Dia sebenarnya cinta tahap gaban dengan isteri dia ni. Antara buktinya dia berusaha untuk mempelajari bahasa isyarat semata-mata untuk membolehkan dia boleh berkomunikasi dengan isteri dia.

Dari part Hee Jo pula, dia sebenarnya bnyk salah faham dengan suami dia. Dia merasakan dia adalah hanyalah pengganti pengantin iaitu kakaknya Hong In Ah yang telah menghilangkan diri sebelum majlis maka dia telah dipaksa oleh ibunya untuk menggantikan tempat tersebut. Hee Jo ini melalui pelbagai trauma dan tekanan batin disebabkan paksaan ibunya selepas kemalangan yang menyebabkan adik tirinya meninggal dan In Ah menjadi bisu. Hee Jo telah dipaksa oleh ibunya untuk tidak bercakap demi mengambil hati keluarga suaminya. Ibunya juga mengugut Hee Jo menggunakan ayah kandungnya yang sedang sakit. Hee Jo tidak ada pilihan selain mengikuti kehendak ibunya walaupun pada dasarnya dia sebenarnya boleh saja bercakap dan bukannya bisu,Banyaklah part2 dia gaduh-gaduh manja dengan Sa-eon terutama masa dia menyamar sebagai penculik dirinya sendiri semata-mata untuk memaksa Sa-eon agar menceraikannya. Tapi sebenarnya Sa-eon sudah tahu orang yang mengugut dia tu adalah isteri dia sendiri tapi dia layankan saja demi mendengar isi hati isterinya. 

Konflik drama ini pada dendam kesumat disebabkan oleh kerakusan datuk Sa-eon yang menyebabkan banyak nyawa terkorban. Hal ini disebabkan, jeng jeng, Baek Sa-eon ini bukanlah Baek Sa-eon yang sebenarnya. Kemunculan Baek Sa-eon yang asli inilah yang membawa kepada pergelutan dan menjadikan kehidupan Sa-eon dan Hee Jo berantakan. Tapi ikatan suami isteri ini dalam menyelesaikan konflik ini sangat mantap. Mereka saling sanggup mengorbankan nyawa untuk menyelamatkan antara satu sama lain. Namun akhirnya, apabila dalang konflik ini dapat dihapuskan muncul pula lagi plot twistnya iaitu Baek Sa-eon itu sebenarnya adalah anak kepada datuknya sendiri. Oleh sebab itulah, dia diambil menggantikan Sa-eon yang asli yang sememangnya seorang psikopat.

Kemunculan pasangan second lead dalam drama ni juga pun sangat menghiburkan. Seperti biasa, pastinya SL akan suka kepada FL dan ML tapi bestnya drama mereka cepat sedar diri he he. Dan akhirnya mereka sendiri bercouple. Ending cerita ni agak kontroversi sebab dia menggunakan unsur Isreal dan Palestine walaupun tidak menggunakan nama sebenar. Ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penonton beragama Islam dan sememangnya perkara ini perlu diambil perhatian pada masa akan datang. Ending juga memang happy ending sangat-sangat. Lama tdk tgk drama yang happy ever after seperti ini he he so puas hati sangat2. Cuma babak-babak akhir drama ini agak daring ya. So hati2lah jika menonton bersama keluarga.

#Kamu bukan pengganti tetapi kamu memang yang sebenarnya. Inilah dialog pencair hati Sa-eon pada isterinya Hee Jo


CORETAN KDRAMA : 22 FEB 2025

THE TRAUMA CODE : HEROES ON CALL

  Wow...ini pun mantap. Selepas menonton Love Your Enemy bertemu lagi dengan Ju Ji Hoon sebagai Dr Baek Gang Hyeok iaitu seorang pakar bedah kecemasan dan trauma. Drama ini best sangat-sangat ya korang. Rugi jika tidak tengok dan secara jujurnya saya memang mengharapkan cepat-cepatlah keluar season 2. Drama ini genre medical/humor. Dimulakan dengan aksi gagah Dr Baek sebagai ahli Black Wings kalau saya tidak salah ketika dia bertugas di Afghanistan. Di sana, Dr Baek telah berkhidmat membantu ahli kumpulan tersebut ketika dalam peperangan. Disebabkan oleh kekecewaan menteri kesihatan terhadap perkhidmatan traum di hospital-hospital maka akhirnya beliau telah memanggil Dr Baek kembali ke Korea.


Di sinilah perkembangan cerita ini sangat menarik. Pemaparan aksi bagaimanan Dr Baek berjuang dalam memastikan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dapat diselamatkan walau di mana mereka berada. Tu yang dia sanggup naik malah dia sendiri jadi pilot ketika melakukan operasi menyelamat di gunung. Keunikan Dr Baek ni ialah dia mudah marah kerana sifat panas barannya menyebabkan kehadirannya tidak disukai oleh doktor-doktor di sana. Namun dengan perangai kepala batu Dr Baek ni ha ha ha...dia mana peduli, yang dia tau, pesakit dia selamat. Macam-macamlah rancangan telah diatur untuk menjatuhkn Dr Baek ni tapi malangnya, posisinya sangat kuat iaitu bukan sahaja pada kekuatan karisma dan keperibadian tetapi juga sokongan daripada menteri.


Banyak kisah-kisah lucu dan mencuit hati yang korang kena tengok sendiri. Tidak dapat diceritakan di sini sebab banyak sangat ha ha. Ditambah lagi dengan gelagat 'anak-anaknya' iaitu Dr Yang, SN Jang Mi, Dr Bius Park memang pastinya anda tidak akan kering gusi. Dalam kelucuan ini juga pasti diselitkan dengan kisah-kisah mendebarkan dalam bidang perubatan yang semuanya dapat diselesaikan oleh Dr Baek dengan baik.


Rugi kalau korang tidak menontong drama ini. Klu dari segi endingnya pula memang ending terbuka. Sebab itulah ramai sangat termasuk saya yang menunggu season 2 drama ini. Katanya drama ini sebenarnya adalah kisah nyata tentang seorang doktor pakar di Korea.


#Kita tunggu season 2. Harap adalah sebab kdrama ni bukan boleh harap juga ni kadang-kadang he he


CURAHAN RASA KDRAMA : 22 FEB 2025

SELAMAT DATANG KE BLOG BICARA KEHIDUPAN

 Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua yang singgah ke ruang kecil ini. Di sinilah saya,  mencoret rasa, bicara dan renungan tent...